KIRA-kira 43,500 pelajar sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada golongan B40 dan miskin di seluruh negara mendapat manfaat daripada Program Back To School 2020 anjuran Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata ia membabitkan kos keseluruhan bernilai RM3.2 juta yang turut disumbangkan rakan strategik antaranya pihak swasta kemudian disalurkan kepada golongan itu melalui yayasan pelajaran berkenaan.
“Yang ini kita bekerjasama juga dengan Jabatan Pendidikan Daerah dan komuniti setempat dalam mengenal pasti golongan pelajar kurang berkemampuan, sudah pastinya mereka adalah antara golongan B40 untuk menerima sumbangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Mohd Firdaus Ahmad, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah.
Rina berkata bantuan awal persekolahan itu berbentuk baucar buku tulis dan peralatan persekolahan bersesuaian seperti beg sekolah dengan kadar RM50 untuk murid sekolah rendah manakala kadar bagi pelajar sekolah menengah pula RM70.
“Diharapkan dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu mereka meringankan beban kewangan ibu bapa terutama dalam membuat persiapan untuk memulakan persekolahan anak pada tahun 2020 nanti,” katanya.
Mengenai program hari ini, Rina berkata 1,000 pelajar dari 28 sekolah di bawah Parlimen Langkawi menerima bantuan persekolahan itu yang bernilai RM88,000.
Tinggalkan komen anda