4 peranti terbaik 2019


shadow

Tahun 2019 bakal melabuhkan tirainya kurang 21 hari lagi dan menyaksikan beberapa syarikat peranti mudah alih melancarkan produk premium mereka yang kebanyakannya memberi fokus kepada keupayaan kamera.

Trend pengguna hari ini khusus untuk telefon pintar, banyak dipengaruhi kemampuan kamera sesebuah peranti memandangkan banyak perkara berkaitan sosial media.

Gambar yang dirakam akan diabadikan atau dimuat naik ke akaun laman sosial termasuk pemandangan unik, jadi sudah pastilah perlukan peranti mempunyai keupayaan kamera yang sangat baik supaya dapat merakam gambar lebih jelas dan terperinci.

Evolusi di dalam kamera peranti juga memperlihatkan ‘raja’ kamera diukur berdasarkan kemampuan sesebuah peranti untuk merekod gambar atau video ketika pencahayaan kurang kerana kebanyakan kamera tidak mampu beroperasi dalam keadaan itu.

Berdasarkan laman web penilaian keupayaan kamera peranti mudah alih terkemuka, DXOMark meletakkan empat peranti terbaik dalam kategori berbeza.

Empat telefon pintar berkenaan adalah peranti keluaran Apple, iPhone 11 Pro Max; Samsung menerusi peranti premium mereka Galaxy Note 10+ versi 5G, Huawei dengan siri Mate 30 Pro dan Xiaomi Mi CC9 Pro Edisi Premium.

Semua peranti berkenaan menunjukkan keupayaan kamera dalam semua keadaan yang sangat baik malah peranti berkenaan boleh dikatakan sebagai ‘raja’ untuk kategori masing-masing.

Berikut adalah pecahan empat kategori kamera berdasarkan kemampuan kamera atau rakaman video bagi peranti berkenaan.

1. Terbaik untuk rakaman video – Apple iPhone 11 Pro Max

Peranti keluaran Apple sememangnya mempunyai kekuatan luar biasa bagi rakaman video kerana ia bukan saja menampilkan rakaman stabil tanpa goncangan sebaliknya tona warna dalam video adalah asli.

Tidak semua peranti mampu untuk merakam video sebaik iPhone 11 Pro Max dan sudah pastinya untuk kategori ini, iPhone edisi terbaharu itu menjadi raja kerana ia bukan saja menawarkan kestabilan rakaman sebaliknya pengguna boleh memilih keupayaan rakaman mod HDR.

DXOMark merekodkan markah rakaman video untuk peranti ini adalah 102 meninggalkan beberapa peranti lain dan keupayaan merakam resolusi 4K serta mengurangkan hingar pada video walaupun direkod dalam keadaan pencahayaan kurang.

Peranti ini juga menjadi pilihan kepada jurugambar mudah alih, wartawan, vlogger dan pereka kandungan untuk melakukan rakaman menerusi peranti mereka.

2. Terbaik untuk pembesaran gambar – Xiaomi Mi CC9 Edisi Premium

Bagi segelintir pengguna, keupayaan pembesaran imej untuk kamera peranti mereka masih menjadi keutamaan kerana kebanyakan kualiti gambar akan merosot jika melakukan pembesaran sebanyak beberapa kali.

Namun, peranti Xiaomi Mi CC9 Edisi Premium menunjukkan hasil yang sangat mengagumkan kerana mampu untuk merakam gambar jarak jauh serta melakukan pembesaran imej tanpa terlalu menjejaskan gambar.

Pengguna juga masih boleh membaca perkataan dan imej huruf pada gambar yang sudah melalui pembesaran sangat sempurna serta kurang kesan hingar.

Xiaomi melakukan padanan teknologi yang sangat baik untuk peranti ini kerana lensa telefoto yang digunakan berkualiti tinggi dan mampu untuk memberikan gambar jelas pada jarak jauh.

3. Terbaik untuk sudut ultra lebar – Samsung Galaxy Note 10+ versi 5G

Mod ultra lebar ini sangat sesuai untuk merakam gambar pemandangan yang menunjukkan bukaan luas pemandangan ataupun mengambil gambar dalam jumlah subjek yang banyak.

Setiap tahun, Samsung tidak pernah gagal menampilkan peranti mudah alih terbaiknya dan kali ini, raja kepada sudut ultra lebar adalah Galaxy Note 10+ versi 5G.

Kebanyakan peranti adakan mengalami sedikit masalah untuk lensa sudut ultra lebar kerana ia akan mengganggu taburan tona warna keseluruhan pada imej yang dirakam.

Untuk Samsung Galaxy Note 10+ versi 5G, ia bukan satu masalah apabila lensa berkenaan tetap mengekalkan tona warna berkualiti walaupun menerusi mod lensa ultra lebar.

Pendedahan cahaya kepada imej yang dirakam juga hampir tepat atau menyamai imej realiti sebenar termasuk keseimbangan cahaya putih pada gambar menjadikan peranti ini sangat baik untuk rakaman mod ultra lebar.

Jika anda suka dengan mod ultra lebar dan gemar merakam imej pemandangan dengan bukaan sudut yang luas, Samsung Galaxy Note 10+ versi 5G ini adalah peranti mesti milik untuk pencinta fotografi.

4. Terbaik untuk gambar malam – Huawei Mate 30 Pro

Beberapa tahun sebelum ini, gambar malam kebiasaannya di dominasi oleh kamera konvensional atau DSLR memandangkan ia mempunyai mod pendedahan cahaya untuk gambar malam.

Namun, sejak kemunculan peranti premium keluaran Huawei, trend berkenaan sudah berubah apabila peranti mudah alih mampu untuk melakukan rakaman gambar yang sangat baik ketika pencahayaan kurang atau gambar malam.

Huawei menerusi siri Mate 30 Pro menunjukkan bahawa trend fotografi sudah berubah apabila peranti itu mampu untuk merakam gambar malam dengan begitu mengagumkan.

Ia adalah hasil kombinasi teknologi sensor yang digunakan oleh Huawei selain keupayaan bacaan imej yang sangat baik membolehkan pengguna merakam sebarang gambar pada waktu malam.

Huawei menggunakan teknologi ‘frame-stacking’ untuk peranti mereka ini dan hasilnya, lensa mampu untuk merakam gambar pada waktu malam dengan merendahkan kadar hingar ke tahap paling minimum.

Peranti keluaran syarikat itu sememangnya terkenal dengan keupayaan fotografi mudah alih termasuk penggunaan lensa berteknologi tinggi.

Tinggalkan komen anda