3,426 notis amaran larangan merokok dikeluarkan


shadow

SEBANYAK 3,426 notis dikeluarkan kepada pemilik dan pengusaha tempat makan atas pelbagai kesalahan berkaitan larangan merokok dalam pemeriksaan membabitkan sebanyak 11,939 premis makanan, bagi tempoh Januari sehingga 14 Disember lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata daripada jumlah keseluruhan notis yang dikeluarkan itu, 330 notis adalah amaran terhadap perokok yang merokok di tempat makan.

“Baki 2,971 lagi adalah amaran kepada pemilik atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok manakala 125 lagi adalah amaran terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam permis mereka.

“Pemilik dan pengusaha premis makanan serta perokok dinasihatkan agar mematuhi kehendak peraturan ini bagi mengelak tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Bermula 1 Januari tahun hadapan, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makan terbuka di bawah Peraturan 11(1)(da) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 akan dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok, akan dikeluarkan.

Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan merupakan suatu kesalahan boleh didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun, sekiranya sabit kesalahan.

Veerapan berkata turut dikuatkuasakan ialah Peraturan 12(1)(a) PPKHT 2004 yang mewajibkan pemilik premis makanan mempamerkan tanda larangan merokok sebagaimana yang ditetapkan dan jika gagal, boleh dikenakan notis hadir ke mahkamah dan didenda RM3,000 atau penjara enam bulan, jika sabit kesalahan.

Dibawah Peraturan 12(1)(b) PPKHT 2004, pemilik premis juga boleh dikenakan notis hadir ke mahkamah dan didenda RM5,000 atau penjara setahun, jika sabit kesalahan kerana gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau meminta anggota masyarakat turut memainkan peranan dalam memastikan perokok tidak merokok di premis makanan.

Tinggalkan komen anda