306 pemberontak Rwanda serah diri di Congo


shadow

RATUSAN anggota sebuah kumpulan pemberontak Rwanda telah menyerah diri kepada tentera di Republik Demokratik Congo, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan jurucakap tentera pada lewat Khamis.

Bercakap kepada stesen penyiar milik kerajaan, Mejar Jeneral Leon Kasonga berkata 306 anggota Pasukan Demokratik bagi Pembebasan Rwanda (FDLR) menyerah diri bersama senjata mereka di rantau Kalehe di wilayah Kivu Selatan.

Pemberontak terbabit tidak berpeluang melarikan diri selepas pangkalan mereka di Taman Negara Kahuzi-Biega dimusnahkan, kata Kasonga.

Asifiwe Nshimiyimana Manudi, seorang pemimpin FDLR, telah diberkas pada Isnin manakala Sylvestre Mudacumura, komander kumpulan pemberontak itu dibunuh dalam bulan September oleh tentera Congo.

Mudacumura dikehendaki untuk jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Kumpulan itu telah membentuk pasukan militia ketika di Congo dan melakukan beberapa perubahan nama. Ia kemudian dikenali sebagai FDLR dan telah mengisytiharkan perang ke atas Rwanda.

Tinggalkan komen anda