UniSZA persoal keputusan undian populariti menteri, anggap tak tepat


shadow

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini tampil mempertikaikan keputusan undian secara dalam talian mengenai populariti menteri kabinet oleh sebuah portal berita tempatan.

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata undian itu tidak tepat kerana ia hanya melibatkan bilangan responden yang kecil iaitu 12,000 orang atau 0.04 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Selain itu, sampel yang digunakan juga tidak jelas daripada segi jantina, ras kaum, lokasi dan pekerjaan yang juga merupakan maklumat penting bagi sampel yang digunakan untuk tinjauan atau kajian pendapat.

“Berita yang ditularkan dalam media sosial mengenai beberapa orang menteri termasuk Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendapat undi tidak popular masih boleh dipersoal.

“UniSZA sebagai sebuah universiti yang mempunyai bidang sains sosialnya tersendiri mempersoal pungutan suara ini kerana ia tidak menggambarkan keadaan sebenar pencapaian serta prestasi Dr Maszlee,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada 22 November lepas, portal Malaysian Insight telah menjalankan tinjauan pendapat secara dalam talian selama lapan jam bagi mendapatkan reaksi warganet mengenai senarai menteri yang perlu digugurkan daripada kabinet.

Keputusan undian yang tersebar di beberapa laman sosial itu menunjukkan Maszlee tersenarai sebagai menteri paling tidak popular diikuti dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Mengulas lanjut Hassan Basri berkata sebagai ahli akademik, beliau berpendapat bahawa Maszlee telah memberikan perkhidmatan cemerlang dengan melakukan pelbagai transformasi dalam sistem pendidikan.

“UniSZA menyaksikan sendiri banyak transformasi pendidikan telah dilaksanakan, begitu juga inovasi dan pengiktirafan kepada warga pendidik.

“Oleh itu UniSZA amat yakin bahawa sembilan teras dalam agenda pendidikan negara yang dibawa oleh Menteri Pendidikan akan dapat dicapai sekiranya beliau terus dikekalkan menerajui kementerian,” katanya.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda