Tidak perlu permit untuk ‘walkabout’ di Tanjung Piai, kata KPN


shadow

PARTI politik hanya diminta mengisi borang ketika tempoh berkempen di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai dan permit tidak diperlukan untuk mengadakan “walkabout” atau tinjauan mesra, jelas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini.

Hamid juga berkata terdapat kekeliruan tentang perkara itu dan mengesahkan beliau tidak akan atau pernah menghalang mana-mana pihak menjalankan kempen.

“Saya rasa ada salah faham di sini. Ia hanya untuk isi borang, untuk letak nama dan alamat dan pastikan tiada masalah berlaku ketika tempoh berkempen.

“Saya tak halang sesiapa, sama ada daripada PH atau BN. Saya mahu raikan demokrasi tetapi saya juga bimbang tentang keselamatan dan keamanan.

“Saya tak mahu ada masalah atau pergaduhan antara parti bersaing. Saya juga tidak ditekan sesiapa, kebimbangan saya hanyalah tentang keselamatan rakyat,” katanya di Sekolah Rendah Jerantut, hari ini.

Hamid juga memberi jaminan yang situasi di Tanjung Piai adalah aman.

“Saya sudah pergi sana dua kali dan saya dimaklumkan yang semuanya aman dan berjalan lancar. Walaupun ada unit FRU, mereka ada di sana untuk pastikan semua lancar. Tidak ada benda yang perlu dibimbangkan,” katanya.

PH dan BN, kedua-duanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap polis dalam isu pengeluaran permit untuk kaedah kempen tinjauan mesra.

Isu itu mencapai kemuncak apabila Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mendesak polis mempertimbangkan semula syarat itu.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob dan badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0, menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya kerana kontroversi itu, tetapi SPR berkata mereka tidak boleh melanggar arahan polis.

“Salah untuk SPR minta orang melawan arahan yang dikeluarkan oleh polis dala melaksanakan kuasa yang diberikan oleh undang-undang kepada mereka,” katanya.

Tambah Hamid lagi, beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din untuk menjelaskan isu itu supaya tiada lagi kekeliruan.

“Saya sudah beritahu ketua polis Johor untuk jelaskan isu ini. Salah faham kecil sahaja,” katanya.

Kamaruddin sebelum ini mengeluarkan kenyataan mendesak semua pihak bertanding di Tanjung Piai untuk memohon permit bagi kempen tinjauan mesra dan kunjungan rumah.

Katanya, ia adalah untuk menjaga keselamatan dan menghalang pertembungan antara penyokong calon bertanding.

Pengundian Tanjung Piai akan diadakan Sabtu ini. Kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafiq.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas.

Tinggalkan komen anda