‘Saya ada pengalaman, jadi mereka mahu saya terus jadi PM’


shadow

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa beliau masih adalah calon terbaik untuk menerajui negara buat ketika ini.

Beliau mendedahkan ini semasa wawancara dengan akhbar Financial Times, di Bangkok, baru-baru ini, di mana beliau juga mengulangi janjinya untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada beliau berpendapat dirinya adalah calon terbaik untuk mentadbir Malaysia, beliau menjawap: “Buat masa ini, mungkin.”

Mahathir juga menafikan terdapat rancangan supaya beliau berundur tahun depan.

“Tidak, sebenarnya tiada tarikh atau tempoh tertentu yang dinyatakan, sebaliknya keputusan untuk mengundurkan diri bergantung kepada beberapa masalah yang Malaysia hadapi ketika ini.

“Saya ada pengalaman menyelesaikan kemelut kewangan, jadi mereka mahu saya untuk (terus pikul tugas sebagai perdana menteri) bagi merungkai isu terbabit sebelum meletakkan jawatan,” katanya.

Pada September lalu, Anwar, 72, memberitahu Bloomberg bahawa beliau menjangkakan dirinya akan menggantikan perdana menteri berusia 94 tahun itu sebelum 2020.

 Diminta untuk mengulas berhubung spekulasi bahawa beliau tidak akan berundur sama sekali, Mahathir menjawab dirinya cukup teliti untuk membuat tidak membuat kesilapan sekali lagi dalam memilih penggantinya tetapi berkata beliau akan menunaikan janjinya.

“Saya buat banyak kesilapan melantik pengganti… Jadi saya tidak mahu buat silap lagi kali ini.

“Sesiapa pun akan rasa berdebar apabila hendak menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada penggantinya,” katanya.

Mahathir terkenal dengan pendirian yang kritikal terhadap penggantinya selepas beliau meletak jawatan pada Oktober 2003 selepas 22 tahun berkuasa sebagai perdana menteri.

Beliau digantikan oleh Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri kelima dan kemudiannya, Najib Razak pada tahun 2009.

Mahathir secara terbuka berkempen menentang Najib pada PRU14, dengan menuduh presiden Umno itu terbabit dengan rasuah dan mengheret Malaysia ke kancah hutang yang mendalam..

Najib sedang berdepan pelbagai pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung dengan skandal kewangan 1MDB dan SRC International.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda