Raket, kasut baharu… semuanya tinggal kenangan


shadow

“TAK sangka, keterujaan arwah bermain badminton menggunakan raket baharu bernilai RM200 dan kasut baharunya itu menjadi detik akhir hidupnya,” kata Kamaruddin Othman, 49, menceritakan mengenai kehilangan rakan, Mazlan Mohamed, 58.

Allahyarham Mazlan yang juga kakitangan Persatuan Peladang Daerah Tangkak meninggal dunia ketika bermain badminton akibat diserang penyakit jantung, pada 9.45 malam tadi di Dewan Balai Raya Kampung Kuala Paya di Segamat.

Menceritakan semula kehilangan rakannya itu, Kamaruddin berkata, ketika kejadian arwah bersama rakan lain menyertai pertandingan badminton pada Terbuka Badminton Kampung Kuala Paya, Segamat, malam tadi.

Beliau berkata, ketika pertandingan itu berlangsung, dia ada menasihatkan arwah supaya berhenti bermain badminton kerana ketika itu mukanya kelihatan pucat.

“Beberapa minit sebelum kejadian, saya melihat wajah arwah amat bersih dan pucat sebelum menasihatkannya supaya tidak meneruskan permainan.

“Bagaimanapun, arwah bersungguh-sungguh ingin meneruskan permainan beregu bersama pasangannya (Zaidan Abd Majid, 49) dengan alasan baru membeli raket dan kasut,” katanya ketika ditemui di rumah arwah di Kampung Kuala Paya, hari ini.

Kamaruddin berkata, tidak lama selepas itu, dia melihat arwah itu terduduk di lantai ketika cuba mengembalikan bulu tangkis berhampiran jaring.

“Arwah dibantu beberapa rakan dan dibaringkan di lantai sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Segamat yang datang bersama ambulans untuk memberikan bantuan kecemasan,” katanya.

Menurut Kamaruddin, dia terkilan dengan kehilangan sahabat baiknya itu yang turut dikenali sebagai seorang kaki pancing.

“Sepanjang permainan (badminton), arwah mempelawa rakan lain menggunakan raket baharunya itu dan saya benar-benar tidak sangka akan kehilangan sahabat baik yang juga kaki pancing,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidan yang menjadi pasangan beregu Mazlan ketika pertandingan itu berkata, tiada sebarang tanda arwah keletihan ketika mereka bermain.

Menurutnya, arwah bersungguh-sungguh mengembalikan setiap pukulan dan bersemangat kerana mereka layak ke peringkat separuh akhir pertandingan itu.

“Keluarga arwah amat dihormati penduduk kampung kerana ringan tangan membantu kenduri dan kerap berkunjung ke rumah jiran untuk bertanya khabar dan mengambil berat mereka yang kurang sihat,” katanya.

Isteri arwah, Zubaidah Abd Aziz, 59, berkata, dia reda dengan pemergian arwah yang sebenarnya sudah tidak bermain badminton sejak lima tahun lalu.

“Sebenarnya sudah lima tahun arwah tidak bermain badminton dan tiga tahun lalu pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

“Hanya tiga hari lalu sahaja arwah mula bermain badminton bersama rakan-rakannya di dewan berhampiran rumah kami,” katanya.

Zubaidah berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan keluar rumah kira-kira 8.40 malam untuk bermain badminton.

“Dia seorang ketua keluarga bertanggungjawab dan penyayang, sudah tentu gurau-sendanya akan dirindui enam anak kami,”

Sepanjang membina rumah tangga bersama Zubaidah, arwah meninggalkan dua anak lelaki dan empat perempuan, berusia antara 19 sehingga 32 tahun.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Jenazah selamat dikebumikan dalam cuaca mendung kira-kira 11.30 pagi tadi di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Kuala Paya dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat.

-myMetro

Tinggalkan komen anda