Pujian terhadap Zakir tak bermaksud benarkan semua tindakan, kata Mujahid


shadow

MENTERI Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang menyatakan sokongan kepada Dr Zakir Naik, tetapi, jelasnya ia bukanlah petanda membenarkan semua tindakan penceramah kontroversi itu.

Dalam satu wawancara selama 30 minit dengan program BBC HARDTalk bersama pengacara Zeinab Badawi yang disiarkan semalam, Mujahid sekali lagi mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa pendekatan Zakir tidak sesuai dengan Malaysia.

“Saya sudah kata banyak kali, pendekatan Zakir tak sesuai di Malaysia,” kata Mujahid.

“Saya juga memberi amaran kepadanya tentang kedudukannya di Malaysia, yang dia perlu lebih peka terhadap situasi Malaysia sebagai negara pelbagai kaum.”

Bagaimanapun, Zeinab bertanyakan mengapa Mujahid juga berulang kali memuji Zakir, malah pernah menggelarkan penceramah dihendaki India itu sebagai “inspirasi”.

Selepas bertemu Zakir pada 13 Mac lalu, Mujahid menerusi Facebooknya berkata usaha warga India itu berdakwah tentang Islam di seluruh dunia menjadi “inspirasi” kepada orang Islam lain.

Mujahid bagaimanapun menjawab yang pujian tersebut bukanlah petanda membenarkan tindakan Zakir dan catatan di Facebooknya bukanlah gambaran penuh pendirian kerajaan.

“Ia tidak bermaksud saya setuju dengan apa sahaja yang dia buat di Malaysia kerana saya ada negara untuk dilindungi. Awak juga boleh periksa kenyataan saya yang lain mengenainya.”

Wakil rakyat Amanah itu juga menafikan yang kerajaan menindas Sisters in Islam (SIS), sebuah organisasi sivil yang mempromosi hak asasi wanita dalam kerangka ajaran Islam dan hak asasi sejagat.

“Mereka yang mula-mula datang jumpa saya. Saya jemput mereka dan bercakap tentang bagaimana mereka boleh mainkan peranan dengan lebih baik dalam membantu wanita tertindas.

“Saya tak rasa dalam kedudukan saya selaku menteri hal ehwal agama, saya abaikan pendirian mereka.”

SIS terpalit kontroversi apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Ogos lepas menolak saman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai “sesat.”

Fatwa Selangor itu dikeluarkan pada 17 Julai 2014 dan digazetkan pada 31 Julai tahun sama.

Mujahid juga berkata Putrajaya sedang berusaha muncul dengan “naratif baharu” tentang Islam.

“Kami sekarang mencadangkan atau memperlihatkan Islam sebagai agama yang sangat progresif, dan peranannya dalam kerajaan baharu.

Tinggalkan komen anda