Presiden Gerakan sebar fitnah Malaysia ambil guru Arab Saudi, kata pegawai Maszlee


shadow

PRESIDEN Gerakan Dominic Lau Hoe Chai menyebarkan fitnah apabila mendakwa Malaysia mahu menggunakan khidmat guru dari Arab Saudi untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah di negara ini, kata Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Mahmood Kasim.

Lau telah menimbulkan persepsi negatif terhadap Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan pentadbiran Pakatan Harapan dengan menyelewengkan fakta sebenar, kata Mahmood.

Menurut Mahmood, guru dari Arab Saudi akan datang ke negara ini bukan untuk mengajar tetapi untuk belajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

“Mereka (guru dari Arab Saudi) akan didedahkan dengan metod pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

“Mereka bukan diupah untuk mengajar murid-murid negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahmood sebelum itu memfailkan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Presint 7 Putrajaya petang tadi.

Akhbar Sin Chew kelmarin dalam laporannya memetik Lau mempersoalkan kenapa Maszlee mahu membawa guru Bahasa Inggeris dari Arab Saudi ke Malaysia sedangkan tahap mereka lebih rendah berbanding di negara ini.

Dalam pada itu, Mahmood menegaskan pihak Maszlee dan kementerian tidak bertolak ansur dengan cubaan memfitnah, memutar belit fakta dan penyebaran persepsi negatif yang boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi.

Kementerian Pendidikan minggu lalu memaklumkan hasil perbincangan Maszlee dengan Menteri Pendidikan Arab Saudi Dr Hamad Mohammed Al Shaikh sempena lawatan beliau ke Riyadh.

Antara persetujuan yang dicapai dalam perbincangan itu ialah Malaysia akan menerima guru Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dari Arab Saudi untuk dilatih di negara ini.


Tinggalkan komen anda