PENDUDUK di Tanjung Piai akan rugi jika pengundi luar yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan parlimen itu tidak pulang untuk mengundi dalam pilihan raya kecil minggu depan, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Katanya, kebajikan keluarga dan penduduk di kawasan itu bergantung pada undi mereka, yang tinggal dan bekerja antaranya di Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Singapura.
Muhyiddin mengingatkan, undi mereka yang jumlahnya besar, sedikit sebanyak akan menentukan wakil rakyat yang dipilih pada hari pengundian 16 November ini.
“Bilangannya (pengundi luar) ada ribuan, sesetengahnya bekerja di Johor Baru, Kuala Lumpur, dan Singapura.
“Kalau mereka tak pulang rugilah mereka… ini hak mereka dan mereka akan balik ke kampung, kalau wakil rakyat dipilih tidak tepat masalah ibu bapa mereka mungkin tidak selesai, penting untuk mereka balik mengundi,” kata Muhyiddin, dalam sidang media di Pekan Nanas, hari ini.
Badan penyelidik Institut Darul Ehsan (IDE) dalam analisis awalnya sebelum kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai turut membangkitkan kepentingan pengundi luar dalam mencorakkan keputusan pada 16 November ini.
Kajian IDE antara 18 hingga 20 Oktober menunjukkan persaingan di Tanjung Piai terbuka luas, bergantung pada parti mana yang cemerlang menggerak sokongan terutamanya dalam kalangan pengundi luar.
Kajian IDE menunjukkan 56% daripada responden yang dikaji selidik mempunyai ahli keluarga pengundi yang tinggal di luar Tanjung Piai.
Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan Pakatan Harapan optimis dengan hasil kempen minggu pertama di beberapa kawasan.
“Secara umum ada kawasan bertambah baik. Kita pantau setiap pusat daerah mengundi (PDM), kategori pengundi, Melayu, Cina, India. Jentera kita dah turun hampir semua kawasan.
“Ada respons bagus, ada kurang baik… itu biasa tetapi itu bukan ukuran hakiki, jika hanya ambil kira dengan kehadiran (dalam ceramah),” kata Muhyiddin.
Beliau bagaimanapun menyeru agar jentera kempen PH bekerja lebih keras menarik sokongan pengundi.
Pakatan Harapan mencalonkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini, 66, yang berhadapan pertandingan enam penjuru termasuk calon Barisam Nasional (BN) Wee Jeck Seng.
Wee adalah bekas ahli parlimen dua penggal pada 2008 dan 2013 tetapi kalah PRU14 yang lalu.
Turut mencuba nasib ialah Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Badrulhisham Abdul Aziz, 56, Wendy Subramaniam, 38, yang mewakili Gerakan dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock, 39, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, 43, yang mewakili kumpulan pemandu teksi. – 8 November, 2019.
Tinggalkan komen anda