PAKATAN Harapan berharap pohak polis akan “mempertimbangkan” mengenai permit untuk program walkabout dan kempen dari rumah ke rumah, kata Muhyiddin Yassin.
“Walaupun telah banyak kempen saya uruskan sebelum ini, saya belum pernah berdepan peraturan yang memerlukan jentera kempen mendapatkan permit polis untuk walkabout dan kempen dari rumah ke rumah.
“Walaupun saya menteri dalam negeri, ini adalah arahan polis daerah. Namun kami harap mereka akan pertimbangkan dan tidak akan laksanakan peraturan ini kepada calon PH atau calon lain,” katanya.
Beliau berkata, calon dan jentera pilihan raya sepatutya diberikan ruang untuk meraih undi.
“Permit hanya diperlukan untuk program ceramah yang besar. Ini bagi memastikan ia mematuhi undang-undang.
“Tetapi saya tidak menerima sebarang laporan (dari pihak polis) terdapat sebarang bahaya atau trend tidak sihat dalam pilihan raya kali ini.
“Jadi, saya harap semua parti diberikan ruang untuk berkempen dalam tempoh tiga hari terakhir ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan semua parti perlu mendapatkan permit polis sebelum berkempen dari rumah ke rumah.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata peraturan berkenaan diputuskan oleh pihak polis.
Tinggalkan komen anda