Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan bayaran bantuan khas kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk anggota perkhidmatan awam negeri.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri berkata bayaran bonus kepada 3,996 penjawat awam negeri itu melibatkan peruntukan berjumlah RM5.42 juta akan dibayar Disember ini.
Menurutnya, kerajaan negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang sangat berdedikasi dan komitmen jitu yang diberikan telah membantu Pulau Pinang dalam mengekalkan prestasi yang cemerlang dalam semua bidang.
“Mengambil kira sumbangan penjawat awam yang tidak terhingga dan juga bagi melonjakkan semangat mereka, saya meluluskan BKK akhir tahun berjumlah RM1,000,” katanya.
Beliau berharap bayaran BKK ini akan mendorong penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi pada tahun akan datang.
Chow juga berkata pembayaran kepada 1,594 Penyelia dan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), 275 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 185 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 583 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM300 seorang dan RM200 seorang kepada seramai 252 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS juga akan dibayar pada Disember ini.
Tambahnya, pembayaran kepada kumpulan itu akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM841,500.
Terdahulu Chow turut mengumumkan kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan program kebajikan iaitu iSejahtera tahun depan dan sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan bagi tujuan ini.
Katanya, bagi menghargai warga emas, kerajaan negeri akan meningkatkan jumlah bayaran penghargaan warga emas daripada RM130 setahun kepada RM150.
“Kenaikan ini dianggarkan memberi manfaat kepada 178,000 warga emas di negeri ini, melibatkan peruntukan RM26.7 juta dengan kenaikan sebanyak RM3.56 juta berbanding tahun ini,” katanya.
Tambahnya, keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan OKU juga dibuktikan dengan kenaikan kadar bantuan OKU daripada RM130 setahun kepada RM150 yang akan melibatkan hampir 10,000 penerima.
Ini akan melibatkan peruntukan RM1.5 juta dengan kenaikan sebanyak RM200,000, kata Chow.
– Bernama
Tinggalkan komen anda