Nak suruh kita kutip abu mayat Chin Peng, tanya Dr Mahathir


shadow

ISU abu mayat bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia tidak perlu dibesar-besarkan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau melihat isu itu sengaja diperbesarkan untuk memburukkan kerajaan.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata tidak seperti pemimpin komunis lain yang diterima pulang ke Malaysia selepas perjanjian damai 1989, kerajaan tidak dapat menerima Chin Peng kerana “dia ketua” mereka.

“Dia (Chin Peng) sudah mati. Banyak orang yang dulu dera kita macam orang Jepun apa semua… kita lupakan yang lama. Bukan dia boleh buat apa dah. Cuma abu dia sahaja yang balik.

“Kita beri Shamsiah Fakeh balik, tiada siapa complain. Kenapa? Sebab dia Melayu kot? Rashid Maidin boleh (datang) ke Malaysia. Ada lain-lain lagi.

“Tapi Chin Peng memang kita tak mahu terimalah… sebab dia ketua,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia di Seoul, hari ini.

Dr Mahathir mengadakan sidang media itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon selepas menutup lawatan kerja dua hari ke Korea Selatan.

Menurut perdana menteri, tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng di luar kawalan mana-mana pihak.

“Macam mana kita nak tahu? Dia bawa abu dalam flusk dan kita tak tahu siapa yang nak tengok. Kalau nak buang abu tu, buang lah,” katanya.

Beliau juga tidak faham kenapa perkara itu dibangkitkan, dan apakah ia bertujuan untuk memburukkan kerajaan.

“Benda semacam ini, yang nak bangkit ini untuk apa? Nak puaskan hati siapa? Nak suruh kita pergi kutip dan hantar ke luar negeri? 

“Benda yang kecil macam itu korek nak memburukkan kerajaan,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Katanya, tiada mana-mana pihak yang memaklumkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia hasrat membawanya pulang, seperti yang ditetapkan mengikut panduan membawa masuk atau keluar abu mayat.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor hari ini berkata polis akan memanggil kumpulan yang terlibat dalam pengurusan membawa pulang abu mayat bekas pemimpin parti komunis itu.

“Siasatan sedang dijalankan. Kami masih menyiasat kerana perkara ini dah lama jadi, ia akan mengambil masa untuk kita kenalpasti (mereka yang terlibat),” katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke Malaysia pada 16 September lepas. Ia dibawa ke Ipoh, Perak untuk satu majlis peringatan yang dihadiri 150 individu.

Abu mayat itu kemudian ditabur ke laut dekat Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa tanda peringatan.

Chin Peng, yang lahir di Sitiawan, Perak meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September 2013. Usianya 90 tahun.

Malaysia sebelum ini mengambil sikap tidak membenarkan mendiang disemadikan di negara ini atau abu mayatnya dibawa pulang sebagai menghormati keluarga dan waris mereka yang terkorban ketika perang gerila PKM dan Darurat 1948-1960.

Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor bagaimanapun berpendapat tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng tiada masalah kerana beliau bukan lagi ancaman.

Beliau dipetik berkata perjuangan PKM sudah berakhir sejak perjanjian damai di Hatyai pada Disember 1989.

Rahim adalah broker perjanjian damai itu.

Tinggalkan komen anda