Mayat lelaki terjatuh Sungai Tuaran dah jumpa


shadow

MAYAT pekerja penyelenggaraan ‘Flying Fox’ yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke Sungai Tuaran di Taman Duta Villa, Tamparuli, sejak Isnin lalu, ditemui pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Tai Kee Ting, 29, ditemui rakan sekerjanya yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira jam 10.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, sebaik dimaklumkan, operasi pencarian dihentikan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai sejauh satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

“Bomba terpaksa meluaskan kawasan pencarian sehingga enam kilometer, namun keadaan air deras dan keruh menyebabkan mangsa sukar ditemui.

“Operasi sudah memasuki hari ketiga dan keadaan air mulai jernih memudahkan penemuan mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Qawie berkata, operasi disertai 10 anggota dan pegawai ditamatkan jam 12.08 tengah hari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan penemuan itu.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dikatakan cuba menyeberangi sungai menggunakan ‘Flying Fox’ untuk menjalankan kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, struktur besi permainan berkenaan tumbang sehingga menyebabkan tali sauh bersama mangsa terjatuh ke dalam sungai.

-myMetro

Tinggalkan komen anda