Matlamat Yayasan Akalbudi Zahid adalah kebajikan, kata saksi


shadow

Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pinny Asnan,39, dalam keterangannya berkata yayasan itu dibentuk pada 7 Mac 1997 oleh Zahid dan Zulkifli Senteri, dan ketika itu dikenali sebagai Yayasan Budi.

Katanya lagi, mengikut terma termaktub dalam perlembagaan organisasi di bawah Seksyen 24 (1) Akta Syarikat 1965, pembayaran dividen terhadap ahli lembaga pengarah yayasan adalah tidak dibenarkan.

Pinny berkata matlamat penubuhan yayasan, menurut Memorandum dan Artikel Persatuan, adalah untuk menerima dan menguruskan dana bantuan orang miskin.

“Antara matlamat lain yayasan adalah untuk memberikan biasiswa dan melakukan kajian sosio-politik.

“Ia juga sepatutnya menyumbang kepada pembangunan organisasi kebajikan atau organisasi berkaitan lain,” tambahnya.

Pinny juga memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah yang yayasan ditugaskan untuk menerima derma dan bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

Beliau memberikan keterangan dengan membaca keterangan bertulis dibuat sebelum masuk kandang saksi. Selepas sesi soal ringkas pihak pembelaan, beliau dibenarkan keluar.

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan korupsi dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah RM117.25 juta.

Pendakwaan itu melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM31 juta dari Yayasan Akalbudi yang sepatutnya membantu orang miskin.

Perbicaraan bersambung pagi esok dengan saksi kedua memberi keterangan.

Tinggalkan komen anda