Mangsa dipercayai alami kemurungan


shadow

SIASATAN awal polis mendapati lelaki warga emas yang maut bersama isterinya dalam kebakaran di sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, Ipoh, kelmarin, mengalami masalah kemurungan.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ia selepas maklumat diperoleh mendapati mangsa dipercayai pernah cuba membunuh diri dengan terjun dari apartmen itu beberapa bulan lalu.

“Kemungkinan dia mempunyai penyakit kemurungan atau apa sahaja kita masih lagi menyiasat dan polis akan mendapatkan saksi untuk mengesahkan perkara ini.

“Difahamkan, dia cuba membunuh diri dan diselamatkan jiran, jadi kita akan mengambil kenyataan daripada saksi iaitu individu yang menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berkhatan Peringkat Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis, Ipoh, hari ini.

Muka depan Harian Metro, semalam, melaporkan pasangan suami isteri dikenali sebagai Kamal Mustafa dan Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an ditemui maut dalam kebakaran di unit apartmen berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, Kamal yang juga warga Mesir dan isterinya warga tempatan ditemui masing-masing dalam keadaan rentung di ruang tamu serta hadapan bilik air.

Namun menjadi tanya apabila penelitian CCTV mendapati Kamal keluar dan membawa pulang dua tong dipercayai berisi bahan bakar manakala kenderaannya ditemui hangus 500 meter dari apartmen berkenaan.

Hasil bedah siasat diperoleh semalam pula mengesahkan terdapat kesan tikaman pada rusuk kiri mayat wanita manakala kesan sama di dada mangsa lelaki sebelum kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata, hasil bedah siasat diperoleh juga mendapati kematian si isteri lebih awal berpunca daripada tikaman manakala suaminya maut akibat lemas dalam kebakaran.

“Siasatan setakat ini mendapati tiada sesiapa memasuki rumah itu kecuali suami mangsa dengan membawa tong yang kita syaki petrol dan disebabkan itu si suami kekal sebagai suspek utama.

“Jenazah isteri sudah diserahkan kepada keluarganya dan polis sedang berhubung dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mendapatkan alamat keluarga suaminya,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda