KELUARGA tiga nelayan warga Indonesia yang diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu, merayu majikan dan kerajaan Republik Indonesia membantu membebaskan mangsa daripada tahanan kumpulan penculik.
Ia susulan rakaman video dimuat naik di Facebook, minggu lalu, memaparkan tiga lelaki dipercayai mangsa culik dalam keadaan tangan terikat merayu dibebaskan segera.
Adik salah seorang mangsa culik, Masiudin Maneu, ketika dihubungi, mengetahui video berkenaan daripada ahli keluarga lain dan mengesahkan ketiga-tiga lelaki dalam video itu adalah abangnya, Samiun, 27, bapa saudaranya, Maharudin Lunani, 48, dan anak Maharudin, Muhammad Farhan, 27.
“Saya cuma tahu daripada ahli keluarga lain. Saya tidak sanggup melihat video itu (kerana) kalau saya lihat, mungkin saya akan menangis.
“Setakat ini, (pihak) kedutaan Indonesia belum hubungi kami untuk beritahu perkembangan (mangsa culik). Saya juga tidak pernah berhubung dengan mereka (sejak kejadian culik dua bulan lalu),” katanya ketika dihubungi di Sandakan, hari ini.
Ketiga-tiga nelayan itu dilarikan pada 24 September lalu oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan, Lahad Datu.
Jumaat lalu, satu video berdurasi 44 saat dimuat naik ke laman sosial Facebook memaparkan ketiga-tiga mangsa meminta bantuan Presiden Republik Indonesia dan majikan membantu membebaskan mereka daripada tahanan Abu Sayyaf sambil menyatakan kumpulan itu meminta tebusan 30 juta Peso (RM2.47 juta).
Masiudin yang bekerja sebagai nelayan di syarikat sama tempat abangnya bekerja turut menjelaskan mereka juga berharap majikan turut membantu membebaskan ketiga-tiga mangsa.
“Sekarang kami masih tunggu ‘tauke’ bantu untuk bebaskan mereka. Mudah-mudahan mereka dapat diselamatkan,” katanya.
-myMetro
Tinggalkan komen anda