Kajian IDE dedah Pakatan dahului BN di Tanjung Piai


shadow

PAKATAN Harapan mendahului Barisan Nasional lebih sembilan mata dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, kata kajian Institut Darul Ehsan (IDE).

53% daripada 1,200 responden kajian berkata mereka akan mengundi calon PH Karmaine Sardine dan 44% lagi memilih calon BN Wee Jeck Seng.

Baki 3% pula berkata akan memberikan undi mereka kepada calon Berjasa Badhrulhisham Abd Aziz, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kajian itu dibuat pada 9 sehingga 11 November lalu melibatkan 1,200 pengundi berdaftar Tanjung Piai.

Hasil kajian yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider oleh sumber parti, berkata pengundi Melayu sebanyak 50% masih memberikan undi mereka kepada BN berbanding hanya 48% untuk PH.

Bagaimanapun, jumlah itu lebih rendah berbanding pilihan raya lepas apabila BN meraih 57% undi Melayu dan PH hanya mendapat 32% dan PAS pula 9%.

Kajian juga mendapati sokongan orang Cina terhadap PH tidak jatuh mendadak di bawah 50% seperti andaian sebelum ini. Pada PRU14, sokongan orang Cina terhadap PH adalah 64%, dan kajian terbaru IDE mendapati ia hanya jatuh sebanyak 3% kepada 61%.

“Kami agak yakin dengan hasil kajian ini kerana ia konsisten dengan apa yang kami nampak pada pilihan raya umum lepas,” kata sumber parti.

Sebelum PRU14, kajian IDE menunjukkan tahap sokongan kepada PH berada pada sekitar 46% berbanding BN (49%) dan PAS (2%).

Pada pilihan raya itu, PH berjaya mengatasi BN selepas mengutip 46.3% undi popular berbanding hanya 45.2% dikutip BN. PAS pula meraih 6.5% undi popular.

Sumber parti juga menyebut hasil kajian juga konsisten dengan laporan akar umbi.

“Sejak dua minggu lepas, kami sudah bercakap dengan ribuan pengundi di sini dan mendapati PH mendahului dengan 10 mata (setakat Rabu semalam) selepas meneliti hasil program simulasi kami.”

Calon Barisan Nasional yang juga bekas ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal hanya mendapat 44% undi, menurut kajian IDE. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2019.
Calon Barisan Nasional yang juga bekas ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal hanya mendapat 44% undi, menurut kajian IDE. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2019.

Atas pagar

Dengan dua hari lagi berbaki sebelum pengundian pada Sabtu ini, tumpuan banyak diberikan kepada pengundi luar kawasan dan atas pagar.

Menurut kajian, terdapat kelompok besar pengundi atas pagar iaitu sekitar 12%.

Apabila ditanya parti mana yang disokong, 44% responden memilih PH manakala 41% memilih BN dan hanya 3% memilih PAS. Tetapi jika dicampur semuanya, 12% pengundi berkata mereka tidak mempunyai parti pilihan.

Orang Cina membentuk kumpulan pengundi yang masih tidak membuat keputusan sebanyak 19%, diikuti oleh orang Melayu sebanyak 8%. 

Dalam kalangan pengundi atas pagar, orang Cina membentuk kumpulan terbesar sebanyak 19% diikuti oleh orang Melayu sebanyak 8%.

Menurut kajian lagi, 49% orang Melayu memilih BN dan 38% lagi memilih PH. Baki 5% menyifatkan diri mereka sebagai penyokong PAS.

Manakala, dalam kalangan orang Cina, 50% masih mahukan PH dan hanya 27 memilih BN. 3% lagi cenderung untuk Gerakan.

IDE menjangkakan 68% sehingga 70% pengundi akan keluar membuang undi Sabtu ini kerana 98% responden kajian berkata mereka mahu mengundi.

“Kami agak terkejut dengan ini. Ia kadar tertinggi pernah kami dapat setakat ini,” kata sumber parti lagi.

“Tetapi, semuana akan ditentukan oleh 12% pengundi atas pagar,” tambahnya.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafiq pada 21 September.

Kawasan itu mempunyai 52,986 pemilih berdaftar terdiri daripada 57.6% Melayu, 41.4% Cina dan 1% India.

Ia melibatkan pertandingan enam penjuru antara PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas.

Tinggalkan komen anda