MAJLIS Jawatankuasa Perunding akan diwujudkan antara Kementerian Sumber Manusia dan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) untuk menambah baik pengurusan perburuhan negara, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan menjadi jambatan komunikasi antara kementerian dan APS untuk membincang dan menyelesaikan isu berkaitan pasaran buruh negara.
Empat pertubuhan yang akan terlibat ialah Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (Pikap), Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma), Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) dan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma).
“Sebelum ini kurang interaksi. Kita bersetuju menubuhkan jawatankuasa ini dan akan bersidang tiga atau empat bulan sekali untuk menyuarakan masalah dan cara penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi Townhall APS bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), hari ini.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri Sumber Manusia serta dibantu Ketua Setiausaha kementerian Amir Omar, katanya.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata tujuan pindaan Akta APS 1981 yang berkuatkuasa sejak 1 Feb tahun lepas adalah untuk menetapkan prosedur yang komprehensif untuk permohonan lesen APS, mengawal aktiviti APS, menjaga kebajikan pencari kerja serta memperkasakan aktiviti penguatkuasaan.
Menurutnya, statistik APS yang berlesen sehingga 31 Oktober adalah sebanyak 895 iaitu, 836 APS induk dan 59 APS cawangan.
Dalam pada itu, Kula Segaran berkata kerajaan mempelawa APS menjadi rakan kongsi bersama dalam program antara Malaysia dan Jepun yang melibatkan penghantaran 50,000 pekerja mahir ke negara matahari terbit itu.
Beliau berkata memorandum kerjasama bagi inisiatif itu bakal ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Jepun.
Tinggalkan komen anda