Isu kongres Pemuda PKR cubaan tutup mulut saya, kata Azmin


shadow

TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengecam keputusan parti menarik balik jemputannya bagi merasmikan kongres tahunan Pemuda PKR bulan depan dan berkata ia adalah usaha untuk menutup mulutnya.

Azmin juga berkata langkah itu tidak pernah berlaku sebelum ini kerana menjadi kebiasaan bagi timbalan presiden merasmikan mesyuarat tersebut.

“Ini tidak pernah berlaku. Parti politik biasanya meminta timbalan presiden merasmikan kongres Wanita dan Pemuda, manakala presiden akan merasmikan kongres utama,” katanya pada sidang akhbar hari ini semasa siri forum Intan di Kuala Lumpur hari ini.

“Ini adalah cubaan untuk menutup mulut saya,” katanya.

Azmin menjelaskan sudah menerima jemputan untuk merasmikan kongres Pemuda dan Wanita serta mengesahkan kehadirannya.

Setiausaha Pemuda PKR Syukri Ab Razak sebelum ini berkata beliau menghantar surat jemputan kepada Azmin pada 11 September, yang diterima oleh pejabatnya pada 23 September.

Bagaimanapun, Syukri berkata tidak pernah menerima jawapan rasmi.

Azmin juga berkata tindakan ini dirancang oleh “tangan ghaib” kerana Ketua Pemuda Akmal Nasir tidak akan berani bertindak sendirian.

“Saya tahu Akmal seorang yang lemah, beliau tidak mampu melakukan ini kecuali terdapat tangan ghaib di belakangnya,” kata Azmin.

Semalam, 21 pemimpin Pemuda mengeluarkan satu kenyataan mengecam  tindakan terhadap Azmin.

“Adalah penting bagi kepimpinan mengambil kira kebimbangan yang diutarakan oleh ahli. Jangan ambil ringan,” kata Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Tinggalkan komen anda