PAKATAN pembangkang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung peraturan baharu yang memerlukan permit polis untuk program walkabout dan berkempen dari rumah ke rumah.
Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, usul mengenai perkara itu juga sudah difailkan kepada Speaker Dewan Rakyat.
“Esok, Tanjong Karang (Noh Omar) akan bentangkan usul itu, Kita juga akan bawa perkara ini ke mahkamah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen yang turut dihadiri oleh 15 orang pemimpin pembangkang.
Menurutnya, pihaknya telah berjumpa dengan peguam untuk membincangkan mengenai perkara itu.
Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun semalam bahawa keperluan mendapatkan permit itu adalah atas permintaan polis, Ismail berkata SPR mempunyai peranan untuk menasihatkan pihak polis.
“Kerana pihak berkuasa untuk pilihan raya adalah SPR dan SPR perlu menasihatkan polis dan bukan sebaliknya. Pilihan raya tertakluk kepada Akta Pilihan Raya,” katanya.
Tinggalkan komen anda