‘Adik pergi dulu…’


shadow

“JAGA mak baik-baik, adik nak pergi dulu,” itu pesanan terakhir Muhammad Adam Syamsul Shahril, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang maut dalam kemalangan, kepada abang sulungnya, Muhammad Arif Syamsul Shahril, beberapa hari sebelum kejadian.

Muhammad Arif, 21, berkata, adiknya, 17, yang sebelum itu periang dan kerap berbual, berubah sikap sejak minggu lalu apabila kerap berkurung di dalam bilik.

Katanya, dia menyangka kelakuan itu hanya biasa memandangkan adiknya itu sedang sibuk membuat persiapan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya memang tidak ada rasa apa-apa dengan sikapnya yang agak pendiam kerana tahu dia sedang fokus belajar apatah lagi hari ini akan menjawab kertas bagi subjek biologi.

“Tetapi tidak menyangka berlaku perkara sebaliknya apabila saya mendapat panggilan daripada ibu memaklumkan bahawa ayah dan adik sudah tiada kerana terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB), di Kepala Batas, hari ini.

Dalam kemalangan 6.30 pagi hari ini, Muhammad Adam bersama bapanya Syamsul Shahril Abd Rahman, 51, yang bekerja sendiri, terbabit kemalangan dengan bas Rapid Penang yang dipandu lelaki berusia 48 tahun di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth.

Pada ketika itu, Syamsul Shahril yang menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar Muhammad Adam ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Air Tawar bagi menduduki peperiksaan SPM.

Kemalangan itu menyebabkan Syamsul Shahril meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Adam menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Menurut Muhammad Arif, adiknya itu pada minggu lalu ada berpesan supaya menjaga ibu mereka, Aziah Salleh, 50-an kerana dia bakal meninggalkan keluarga itu.

“Saya terkejut pesanan itu adalah tanda bahawa dia akan pergi hari ini bersama ayah.

“Kebiasaannya ayah yang keluar bekerja akan menghantar Adam di jeti dan kemudian Adam akan menaiki bas tetapi hari ini lain pula.

“Ini semuanya takdir dan walaupun sedih kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Muhammad Adam adalah anak ketiga daripada empat beradik dan disifatkan seorang penyayang serta patuh pada nasihat ibu bapa.

Sementara itu, rakan sekolah Muhammad Adam, Maznan Noor, 17, berkata, kawasan persekitaran sekolah pada waktu pagi agak gelap manakala kenderaan terutamanya bas kerap dilihat memandu dalam keadaan laju.

“Dua tahun lalu ada juga kemalangan meragut nyawa di hadapan sekolah ini dan boleh dikatakan ada sahaja perkara tidak diingini berlaku kerana kawasan yang gelap pada waktu pagi.

“Lebih menyedihkan hari ini ia menimpa kawan baik saya bersama bapanya,” katanya.

Jelasnya, Muhammad Adam adalah sahabat yang baik, peramah dan sentiasa memberi kata-kata motivasi supaya tidak melakukan perkara yang mengecewakan ibu bapa.

Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bandar Perda selepas solat Asar.

-myMetro

Tinggalkan komen anda