1MDB, MKD boleh cabar IPIC, Aabar, kata Peguam Negara


shadow

1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) boleh meneruskan untuk mencabar International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar) di Mahkamah Tinggi di London, menurut Peguam Negara Tommy Thomas.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan selepas 1MDB dan MKD berjaya dalam rayuannya terhadap IPIC dan Aabar untuk mengetepikan award persetujuan yang dimulakan oleh pentadbiran Najib Razak.

Mahkamah Tinggi di London sebelum ini mengetepikan permohonan 1MDB dan MKD untuk mencabar award itu.

Keputusan ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan, kata Thomas dalam satu kenyataan.

“Hasil keputusan Mahkamah Rayuan, permohonan 1MDB dan MKD untuk mengetepikan award persetujuan akan didengar di Mahkamah Tinggi di London.”

Prosiding timbang tara oleh IPIC dan Aabar PJS juga mesti dihentikan, katanya.

Award yang ditandatangi oleh Najib pada 2017, melibatkan AS$5.78 bilion (RM24.2 bilion) yang perlu dibayar oleh Malaysia kepada IPIC dan bon amanah bagi tempoh lima tahun.

Ia adalah sebahagian daripada prosiding timbang tara yang dimulakan IPIC dan Aabar PJS terhadap 1MDB dan MKD di London pada 2016 berhubung dua bon yang dikeluarkan oleh 1MDB pada tahun 2012 yang dijamin IPIC, tetapi 1MDB telah membayar syarikat lain dengan nama yang sama seperti Aabar PJS dan bukan anak syarikat milik Abu Dhabi IPIC.

Malaysia mahu perkara itu dibawa ke mahkamah dan bukannya timbang tara, dan berpendapat bahawa negara tidak diwajibkan membuat pembayaran jika ia adalah hasil penipuan.

“Permohonan kami sekarang akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di London sebagai sebahagian daripada proses terbuka dan telus yang membolehkan rakyat Malaysia dan seluruh dunia mengikuti prosiding di mahkamah.

“Sekiranya Malaysia berjaya, Malaysia akan, sebagai tambahan kepada hak lain, dapat meneruskan usaha mendapatkan semula AS$3.5 bilion yang dibayar daripada dana 1MDB kepada anak syarikat IPIC,” kata Thomas.

Daripada jumlah itu, sebanyak AS$1.46 bilion (RM6.1 bilion) sudah dibayar.

Malaysia berhasrat mendakwa bahawa akibat penipuan, ia tidak perlu membayar baki AS$4.32 bilion, dan juga berhak memperoleh semula AS$1.46 bilion yang telah dibayar.

Tinggalkan komen anda