KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MKD dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerima ketua pegawai eksekutif (CEO) baru sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 8 Mei 2018.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata daripada 18 lantikan baharu itu, gaji 5 CEO diturunkan, 4 CEO dinaikkan dan 9 CEO kekal.
“Jumlah keseluruhan gaji 18 CEO baru ini lebih rendah berbanding gaji CEO terdahulu. Jumlah penjimatan sebanyak RM87,050 sebulan atau RM1.04 juta setahun,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Lim menjawab soalan Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang ingin tahu senarai syarikat MKD serta syarikat GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bawah kawalan kementerian yang dilantik CEO baru dan perbandingan gaji mereka dengan CEO terdahulu.
Beliau turut menegaskan tiada ahli politik dilantik sebagai CEO syarikat MKD atau GLIC bawah kawalan kementerian dan dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat itu kecuali lantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
“Bagaimanapun, Mahathir dan Azmin tidak menerima sebarang elaun tahunan dan elaun mesyuarat lembaga pengarah dalam Khazanah,” kata Lim.
Tinggalkan komen anda