Waris penjawat awam terima faedah sehingga RM150,000


shadow

KUALA LUMPUR: Waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan akan menerima faedah Ex-Gratia Kematian sehingga RM150,000 sebagai langkah baharu kerajaan untuk menjaga kebajikan waris.

Selain itu, Belanjawan 2020 juga mengambil inisiatif mempercepatkan pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) kepada penjawat awam yang meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan.

“Pemberian PGT akan diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) kepada penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun.

“Antara inisiatif lain bagi meningkatkan perkhidmatan awam dalam kalangan 1.6 juta penjawat awam, kerajaan juga membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai.

“Bayaran gantian ini adalah bagi penjawat awam yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun,” katanya.

Kerajaan juga menawarkan Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok bernilai RM100,000 secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baharu kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Terakhir, penjawat awam Gred 56 ke bawah boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 manakala sebanyak RM250 akan diberikan kepada pesara kerajaan.

“Ia juga turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen. Kedua-dua bantuan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2019,” katanya.

Tinggalkan komen anda