RM5 juta selenggara Leburaya Timur Barat


shadow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM5.72 juta bagi penyenggaraan berkala Lebuhraya Timur Barat (FT04), iaitu laluan perhubungan utama yang menghubungkan Gerik, Perak sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan sepanjang tahun lalu.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM4.85 juta diperuntukkan bagi penyenggaraan turapan dan RM870,000 bagi penyenggaraan bukan turapan.

“Bagi 2019, sehingga Ogos lalu, kementerian memperuntukkan RM2.98 juta bagi penyenggaraan berkala iaitu RM2.6 juta bagi penyenggaraan pavemen (turapan) dan RM380,000 bagi bukan pavemen,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (PAS-Pasir Puteh) sama ada kementerian akan mengutamakan kerja penyenggaraan dan pembaikan jalan raya Persekutuan di Kelantan yang menjadi perhubungan utama Pantai Barat dan Pantai Timur.

Baru berkata, kementeriannya komited melaksanakan kerja penyenggaraan berkala Jalan Persekutuan terutama di laluan Lebuhraya Timur Barat.

“Setiap tahun, kementerian akan menyediakan program penyenggaraan berkala pavmen dan bukan pavemen bagi permohonan peruntukan kepada Kementerian Kewangan, dan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan,” katanya.

Bagi penyenggaraan rutin di lebuh raya itu, Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM2.38 juta, meliputi skop kerja tampalan lubang, meratakan bahu jalan, memotong rumput, mencuci perabot jalan, membersihkan sistem perparitan jalan dan pembetung serta melakukan rondaan pemeriksaan.

“Bagi skop tampalan jalan berlubang, tindakan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam oleh syarikat konsesi selepas lubang jalan dikenal pasti.

“Penampalan lubang jalan ini adalah sebagai langkah awal atau kaedah penghalang bagi tujuan faktor keselamatan pengguna jalan sebelum kerja turapan kekal dilaksanakan di bawah skop penyenggaraan berkala pavemen,” katanya.

Tinggalkan komen anda