‘PH sudah masuk separuh masa kedua, kena tukar kapten’


shadow

Menggunakan perumpamaan sukan bola sepak, Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata, Pakatan Harapan (PH) kini dalam separuh masa kedua sejak mengambil alih kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Justeru, katanya, sudah tiba masa untuk menukar kapten pasukan.

“Rakyat bangkit pada PRU ke-14 dan memberi peluang kepada PH diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad.

“Malangnya, selepas satu setengah tahun apa yang berlaku adalah sangat menyedihkan,” kata Leong yang juga merupakan pemimpin veteran PKR di majlis makan malam bersama warga media di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, rakyat perlu bangkit semula menghadapi PRU ke-15.

“PRU ke-15 macam permainan bola sepak. Sekarang kita sudah masuk separuh masa kedua. Kita harap kita tukar kapten,” katanya.

Ketika ini, tambah Leong, dia sudah boleh nampak perangai sebenar beberapa pemimpin khususnya daripada partinya sendiri iaitu PKR.

Jelas Leong, pada konvensyen PH, sudah dipersetujui bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri dan seterusnya digantikan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Semua setuju. Dr Mahathir sendiri setuju. Tapi, malangnya hari ini kita lihat ada pemimpin dari parti saya sendiri kata Dr Mahathir perlu diberi menjadi perdana menteri bagi satu penggal penuh.

“Kita boleh nampak perangai sebenar mereka yang bercita-cita menjadi perdana menteri sampai lupa perjuangannya,” tegasnya.

Walaupun Leong tidak menyebut nama, namun dipercayai beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang semalam menyatakan bahawa Dr Mahathir perlu diberi peluang satu penggal penuh bagi menerajui kerajaan.

Malah menurut Azmin, mereka yang berhasrat untuk mengambil alih sebelum berakhirnya penggal kerajaan sekarang harus dirujuk sebagai “kerajaan pintu belakang”.

Bagaimanapun, Anwar hari ini menyifatkan kenyataan timbalannya itu yang juga menteri hal ehwal ekonomi sebagai “pendapat peribadi”.

Anwar berkata beliau menyerahkan keputusan berkaitan peralihan kuasa kepada PH untuk membuat keputusan bersama.

  • nalaysiakini

Tinggalkan komen anda