Pasangan Malaysia di Norway dituduh dera anak, lapor media


shadow

SEPASANG suami isteri rakyat Malaysia yang menetap di Stord, Norway kini dipisahkan daripada lima anak mereka setelah didakwa mendera anak sendiri, lapor Harian Metro.

Hairi Muhamad dan isteri Norliha Khamis tinggal di Norway sejak 10 tahun lalu dan mempunyai lima anak berumur antara empat hingga 16 tahun.

Laporan itu memetik kenyataan adik Hairi di Malaysia, Hasrol Muhamad berkata abangnya didakwa mendera kanak-kanak selepas seorang anaknya yang ditegur oleh guru di sekolah, mengadu keletihan berpuasa lebih 12 jam pada awal Ramadan lalu.

“Mungkin gurunya fikir dia didera dan membuat aduan kepada pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak dan siasatan dijalankan,” kata Hasrol, seperti dipetik akhbar itu.

Hasrol juga dipetik berkata seorang lagi anak saudaranya pernah mengadu dipukul tetapi siasatan polis tidak menemukan sebarang bukti untuk pendakwaan.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan sepanjang tempoh itu, semua anak Along (Hairi) dipisahkan daripadanya dan kini di bawah jagaan tiga keluarga bukan Islam di sana,” katanya.

Harian Metro melaporkan kes itu akan didengar di mahkamah di Norway pada Isnin depan.

Dalam pada itu, Wisma Putra dipetik berkata pihak berkuasa Norway meletakkan lima anak daripada pasangan Hairi dan Norliha untuk dijaga oleh agensi kebajikan kanak-kanak.

“Kes ini lebih kepada aspek kebajikan kanak-kanak dan ditangani mengikut undang-undang Norway,” kata Wisma Putra.

Nasib Hairi dan keluarganya mengulangi kes sama yang dialami pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Noshral yang dihukum penjara di Sweden pada 2014 kerana didakwa memukul anak yang enggan sembahyang.

Empat anak mereka dipisahkan dan dihantar pulang kepada keluarga di kampung di Kelantan.

Azizul dan Shalwati masing-masing dibebaskan dari penjara pada 9 Julai dan 29 September 2014. 

Comments

Tinggalkan komen anda