POLIS sudah membuka 17 kertas siasatan terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam atas pelbagai kesalahan termasuk Akta Hasutan yang dilakukan setakat 27 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan memohon bon mahkamah untuk menetapkan syarat tambahan ke atas Lokman.
“Tujuh kertas siasatan dibuka oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas manakala 10 lagi dibuka di kontinjen lain. Beliau sering melakukan kesalahan kerana membuat kenyataan berunsur hasutan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Jelas Huzir, kes terbaru yang disiasat ialah kenyataan Lokman yang berbaur hasutan di media sosial pada 27 Oktober lalu dengan tajuk “Bersiap sedia untuk peperangan paling dahsyat”.
“Oleh itu, polis akan memohon mahkamah untuk menetapkan bon dengan syarat tambahan terhadap Lokman yang kini sedang menjalani satu perbicaraan kerana pertuduhan membuat kenyataan mengapi-apikan orang awam berhubung kes kemalangan di Kajang,” katanya.
Menurut Huzir, jika mahkamah meluluskan bon seperti yang dipohon, Lokman perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain berkelakuan baik dan tidak mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan.
“Dia (Lokman) adalah antara individu terbanyak yang polis pernah buka kertas siasatan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
“Kenyataannya adalah serius dan boleh mendatangkan provokasi kepada golongan tertentu.
“Saya ingin ingatkan Lokman kami boleh ambil tindakan ke atasnya pada bila-bila masa dan tidak lagi buat kenyataan seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Huzir berkata, polis mengesan seorang lagi pemilik akaun Facebook bernama Maran Muniandy yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dengan membuat perbandingan antara tahanan Sosma dalam kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan Daesh.
“Kami sudah mengenal pasti Maran dan beberapa individu lain yang membuat komen pada posting itu.
“Tindakan akan diambil mengikut lunas undang-undang dalam masa terdekat,” katanya.
Tinggalkan komen anda