Lebih 700,000 akaun pendeposit TH tidak aktif


shadow

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengenalpasti lebih 700,000 akaun pendeposit yang tidak aktif selepas tidak melakukan sebarang transaksi sejak tujuh tahun lalu.

Akaun berkenaan yang membabitkan simpanan berjumlah RM60.4 juta, didapati tidak aktif sejak 2012 sehingga akhir Ogos lalu.

Justeru, TH menasihati pendeposit untuk mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang.

Transaksi berkenaan boleh dilakukan di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller atau melakukan transaksi dalam talian dengan rakan strategik iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

“Pendeposit juga boleh menyemak status akaun mereka di saluran berkenaan dengan hanya membawa kad pengenalan,” kata TH dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan akaun yang tidak diaktifkan selepas 1 November ini, akan dipindahkan ke kumpulan akaun dormant (tidak aktif) dan tidak akan memperoleh manfaat seperti diterima pendeposit akaun aktif TH.

Bagaimanapun, jumlah simpanan yang dipindahkan ke akaun dormant berkenaan masih boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH mengikut peruntukan Seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.

Setiap tahun, TH mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif selain mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris.

Ia bertujuan memudahkan pendeposit atau waris dihubungi bagi urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun.

Bagi mendapatkan sebarang maklumat berkenaan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan THCC di 03-6207 1919.

Tinggalkan komen anda