‘Kami tetap jaga tujuh cucu’


shadow

“SELAMA ini, pak cik tidak tahu dia (arwah anak) mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Alhamdulillah dengan wang caruman terdahulu anak arwah layak mendapat Faedah Pencen Penakat daripada Perkeso…ini dapat membela nasib dan masa depan anak arwah, ” kata Idris Abdullah, 74.

Idris kehilangan anaknya, Norhapisah Idris, 34, dan menantunya, Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, selepas mereka maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3, dekat Ketengah Jaya, Dungun pada 11.15 pagi 4 Oktober lalu.

Berikutan itu, dia bersama isteri, Habsah Chik, 71, kini menggalas tanggung jawab membela tujuh cucunya, Muhammad Danial, 12, Muhammad Danish Irfan, 11, Muhammad Darwish Iqbal, 9, Muhammad Dhiyauddin Aiman, 8, Muhammad Daim Amin, 6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5, dan Dayyinah Athirah, 3.

Menurutnya, sebaik mendapat berita kemalangan meragut nyawa anak dan menantu, fikirannya serta isteri menjadi kusut mengenangkan nasib tujuh cucunya.

“Kami sudah tua dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Bagaimanapun kami mengambil keputusan untuk menjaga semua cucu kami itu, biarlah apa terjadi sekali pun.

“Namun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana ramai datang membantu termasuk memberi sokongan supaya kami menjaga semua cucu, termasuk pihak Perkeso,” katanya.

Mereka menerima kunjungan Pengurus Perkeso Dungun, Afizah Aziz di rumahnya di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, hari ini.

Pada majlis itu, Afizah turut menyampaikan sijil anak angkat kepada tujuh kanak-kanak terbabit.

Turut hadir, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Sementara itu, Afizah berkata, pihaknya menyampaikan wang Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 kepada keluarga terbabit.

Menurutnya, ketujuh-tujuh beradik terbabit akan dijadikan sebagai anak angkat Perkeso bagi menjamin kebajikan dan masa depan sehingga mereka mampu berdikari.

“Pihak Perkeso mendapati anak ini layak menerima Pencen Penakat sehingga mereka berusia 21 tahun.

“Kami belum pasti jumlah bulanan akan diterima mereka kerana sedang membuat penilaian berhubung jumlah bayaran akan mereka terima nanti.

“Bayaran itu dijangka akan dapat diselesaikan dengan segera dan wang terbabit akan dikreditkan ke akaun penjaga pada bulan depan,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda