Kakitangan Utusan hadir taklimat pelikuidasi sementara


shadow

BEKAS kakitangan syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad hari ini menghadiri taklimat pelikuidasi sementara selepas tiga minggu syarikat akhbar itu mengumumkan gulung tikar dan menutup operasinya serta merta.

Dianggarkan kira-kira 1,500 bekas kakitangan syarikat akhbar itu dari seluruh negara hadir bagi mendengar taklimat yang bermula pukul 3 petang ini.

Mereka yang hadir diminta mengisi dokumen tuntutan baki pendapatan tertunggak, pampasan pemberhentian, dan tuntutan pelbagai yang lain seawal pukul 10 pagi tadi.

“Saya datang awal pagi untuk selesaikan isi borang tuntutan. Ambil masa yang agak lama kerana terlalu ramai.

“Tuntutan pampasan setakat ini masih belum diumumkan dan semua bekas kakitangan ternanti-nanti. Bagaimanapun, tiada tarikh spesifik bila semua tuntutan ini akan dijelaskan.

“Jika boleh, kami harap tidak terlalu lewat kerana rata-rata masih belum memperoleh pekerjaan baru,” kata seorang kakitangan yang enggan dikenali.

Selain menghadiri taklimat, badan kebajikan kakitangan Utusan menyediakan kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dan Jobs Malaysia, yang menawarkan khidmat bantuan pengurusan kewangan dan mencari kerja kosong.

Pada 9 Oktober lalu, Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan syarikat akhbar yang menyambut ulang tahun ke-80 pada Julai lepas gulung tikar.

Lebih kurang 800 kakitangannya diberhentikan kerja berkuat kuasa esok, 11 bulan selepas hampir 800 yang lain menerima tawaran pemberhentian sukarela (VSS) untuk mengurangkan kos operasi syarikat.

“Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana lembaga pengarah berpendapat syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan,” kata Aziz dalam pekeliling yang diedar kepada kakitangan Utusan tiga minggu lalu.

Keputusan itu diumumkan dua hari selepas Utusan melepaskan 70% pegangan sahamnya dalam Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Dilof adalah anak syarikat Utusan yang memegang hak penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sejak awal September lalu.

Pada tarikh sama 7 Oktober itu, nama Dilof ditukar kepada Media Mulia Sdn Bhd.

Dilof adalah asalnya syarikat milik Aziz yang diambil alih oleh Utusan pada akhir Ogos lalu.

Minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia mengingatkan Utusan agar melunaskan semua pampasan dan gaji tertunggak kakitangannya termasuk pampasan VSS yang tidak dibayar sebelum ini.

Tinggalkan komen anda