‘Dedahkan senarai semua pertubuhan keganasan’


shadow

Suaram hari ini telah menggesa kerajaan untuk mendedahkan senarai semua organisasi yang disyaki mempunyai hubungan pengganas dan alasan untuk berbuat demikian.

Penyelaras Suaram, Amir Abdul Hadi berkata langkah itu akan menghalang orang ramai daripada secara tidak sedar terlibat secara langsung dengan kumpulan berkenaan dan akhirnya ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) atau undang-undang anti-keganasan yang lain.

“Salah satu cadangan kami adalah supaya kerajaan mendedahkan secara terbuka senarai yang didakwanya pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dengan keganasan yang diisytiharkan sebagai ‘entiti khusus’ di bawah Seksyen 66B (1),” kata Amir yang memetik peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

“Bukan itu sahaja, tetapi dedahkan juga mekanisme yang digunakan untuk melabel kumpulan itu sebagai organisasi pengganas.

“Jika tidak, mungkin suatu hari nanti, Suaram sendiri mungkin berada di senarai pertubuhan berkaitan keganasan,” kata Amir pada sidang akhbar bersama dengan NGO dan individu hak asasi lain di pejabat Suaram di Petaling Jaya.

Suaram, bersama kumpulan lain termasuk Amnesty International Malaysia dan PSM, juga mengulangi gesaan supaya kerajaan memansuhkan Sosma dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 dan juga unsur-unsur zalim dalam Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, desakan kumpulan itu hari ini adalah kesinambungan perjuangan mereka untuk memansuhkan bekas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang juga memperuntukkan penahanan tanpa perbicaraan.

“Sosma mempunyai semua DNA ISA,” katanya.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes, polis akan mendakwa mempunyai bukti yang mencukupi terhadap suspek yang ditahan di bawah Sosma.

“Jadi mengapa mereka (polis) tidak mendakwa mereka?” soal Arutchelvan yang berkata bahawa kumpulan hak asasi manusia itu dalam cadangan masa lalu mereka kepada kerajaan telah memetik pelbagai undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan yang boleh digunakan untuk mendakwa tahanan di bawah Sosma.

  • malaysiakini


Tinggalkan komen anda