Bursa Malaysia ditutup tinggi dipacu pengumuman Belanjawan 2020


shadow

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini dengan sentimen lebih positif, dipacu oleh pembentangan Belanjawan 2020 apabila pengumuman kerajaan disambut baik oleh peserta pasaran yang turut membayangkan hala tuju ekonomi negara, kata peniaga.

Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.97 mata kepada 1,556.84 berbanding 1,551.87 sewaktu ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk utama yang dibuka 0.91 mata lebih rendah kepada 1,550.96, berlegar dalam jajaran 1,550.96 dan 1,558.26 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 539 berbanding 308 manakala 753 kaunter tidak berubah, 415 tidak didagangkan dan 52 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.33 bilion saham bernilai RM1.6 bilion daripada 2.23 bilion saham bernilai RM1.52 bilion, semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Philip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata di peringkat teknikal, walaupun beliau melihat petanda positif pada corak aliran carta ‘Bullish Harami’ pada 7 Oktober lepas, namun tiada sebarang kecenderungan meningkat dicatatkan FBM KLCI.

“Sebaliknya bursa tempatan susut dengan aliran menurun. Dari segi teknikal, elemen negatif masih ketara berbanding positif dan kami menjangkakan prestasi lemah akan terus berlaku.

“Malah, selagi indeks itu tidak kembali mencecah paras kukuh 1,600 mata, kami berpendapat sentimen lemah ketika ini belum mencecah paras kemuncaknya,” katanya kepada Bernama.

Bagi kemajuan masa depan, Nazri menasihati para pelabur untuk lebih berwaspada dalam proses membuat keputusan membabitkan urus niaga dagangan masing-masing.

“Bagi aliran penurunan, kami jangkakan paras sokongan segera adalah 1,530 mata dan disusuli nilai ambang pada 1,500 mata.

“Paras rintangan segera pula pada 1,570 mata manakala rintangan ketara sekitar 1,600 mata,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, PChem dan Digi naik lima sen masing-masing kepada RM8.44, RM7.23 dan RM4.69 manakala PBBank rugi 10 sen kepada RM19.08 dan IHH susut dua sen kepada RM5.65.

Bagi saham aktif, Sapura Energy untung satu sen kepada 27 sen dan Bumi Armada, Jaks Resources serta MTAG Group naik dua sen masing-masing kepada 38.5 sen, 93.5 sen dan 45.5 sen.

Selain itu, Indeks FBM Emas meningkat 57.15 mata kepada 11,077.81, Indeks FBMT 100 menokok 53.55 mata kepada 10,895.44 dan Indeks Syariah FBM Emas naik 74.63 mata kepada 11,716.37.

FBM 70 menambah 145.54 mata kepada 13,943.97 dan FBM ACE naik 36.00 mata kepada 4,619.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.73 mata kepada 14,990.33, Indeks Produk & Perkhidmatan Industri menambah 0.68 mata kepada 150.43, manakala Indeks Perladangan berkurangan 2.16 mata kepada 6,540.89.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.44 bilion unit bernilai RM1.4 bilion daripada 1.23 bilion unit bernilai RM1.37 bilion yang dicatatkan semalam.

Waran pula meningkat kepada 464.37 juta unit bernilai RM76.03 juta daripada 385.79 juta unit bernilai RM63.06 juta, sebelumnya.

Di Pasaran ACE jumlah dagangan merosot kepada 427.27 juta saham bernilai RM125.42 juta daripada 614.16 juta saham bernilai RM93.19 juta pada Khamis.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 176.32 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (225.16 juta), pembinaan (143.85 juta), teknologi (119.92 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (26.14 juta), hartanah (111.00 juta), perladangan (21.46 juta), REIT (6.8 juta), dana tertutup (14,600), tenaga (432.11 juta), penjagaan kesihatan (13.6 juta), telekomunikasi dan media (106.19 juta), pengangkutan dan logistik (41.14 juta) dan utiliti (17.74 juta). -BERNAMA

Tinggalkan komen anda