Belanjawan 2020 perlukan dasar bantu rakyat berjimat


shadow

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memperkenalkan lebih banyak dasar yang mampu memberi penjimatan kepada rakyat dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Liew Ooi Hann, berkata sebagai contoh pada tahun lalu, kerajaan mengumumkan peningkatan kadar pengecualian cukai untuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) daripada RM6,000 ke RM8,000 dalam Belanjawan 2019.

“Jika dasar seperti ini dapat diteruskan pada belanjawan kali ini, ia akan membolehkan rakyat Malaysia untuk menyimpan lebih banyak.

“Selain itu, dengan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, adalah penting bagi Malaysia mengekalkan kestabilan dasar seperti membabitkan dasar percukaian.

“Jangan ubah dasar ini sesuka hati. Segala dasar yang telah diputuskan pada tahun lalu, perlu dikekalkan biarpun berlaku turun naik keadaan ekonomi dunia,” katanya selepas melancarkan tinjauan literasi kewangan rakyat Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan untuk mengkaji pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ooi Hann berkata Malaysia perlu konsisten dengan dasar percukaiannya dan ketidaktentuan dasar adalah sesuatu yang negatif.

“Ia sebenarnya membabitkan keperluan untuk mempunyai dasar yang stabil terutama ketika keadaan ekonomi global yang dalam ketidakpastian.

“Apa yang Malaysia perlu buat ialah dengan memberitahu dunia yang kita mengalu-alukan perniagaan dan mempunyai dasar cukai yang stabil dan tidak berubah-ubah setiap tahun,” katanya.

Dalam tinjauan literasi kewangan rakyat Malaysia 2019, 69 peratus responden berkata kewangan masing-masing adalah terkawal, namun apa yang membimbangkan 53 peratus mengakui tidak mampu untuk meneruskan kehidupan lebih daripada tiga bulan dengan simpanan mereka.

Tinjauan itu seterusnya mendapati kira-kira 43 peratus responden berbelanja sepenuhnya atau lebih daripada apa yang diperoleh. Dapatan ini meningkat 10 peratus berbanding tinjauan tahun lalu.

Tinjauan berkenaan dilakukan dengan kerjasama Visa membabitkan 8,139 responden berusia dari 20 tahun hingga 60 tahun di seluruh negara secara atas talian.

Tinggalkan komen anda