Bekas CEO 1MDB sambung beri keterangan hari ke-29


shadow

BEKAS CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi sambung beri keterangan pada hari ke-29 pada perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak.

Saksi kesembilan pendakwaan itu akan disoal siasat peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Semalam Shahrol memberitahu mahkamah, seminggu selepas perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International ditandatangani pada 25 September 2009, sebanyak AS$85 juta (RM255 juta) dimasukkan ke akaun CEO PetroSaudi Tarek Obaid.

Penyiasat kemudiannya mendedahkan bahawa Tarek berkongsi AS$33 juta dengan pengarah PetroSaudi Patrick Mahoney.

Semasa sesi soal balas semalam, Shafee bertanya kepada Shahrol “Krismas datang awal tahun itu ya?”, dan Shahrol mengangguk tanda setuju.

Lima hari selepas perjanjian bernilai AS$1 bilion antara 1MDB dan PetroSaudi ditandatangani, sebanyak AS$300 juta dibayar kepada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, manakala AS$700 juta kepada Good Star Ltd tanpa persetujuan lembaga pengarah 1MDB.

Penyiasat kemudian mendedahkan dua syarikat itu palsu, dan Good Star dikawal oleh ahli perniagaan dalma buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah sebagai bukti menunjukkan bahawa Good Star membayar AS$85 juta kepada Tarek pada 5 Oktober 2009, lima hari selepas syarikat itu menerima AS$700 juta dari 1MDB.

Dokumen juga menunjukkan bahawa pada 20 Oktober 2009, AS$33 juta dipindahkan dari akaun Tarek ke akaun Mahoney.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah yang sama.

Pendakwaan menuduh bekas perdana menteri itu bersubahat dengan Jho Low untuk menipu dana pelaburan kekayaan negara itu.

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Shafee.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dan kes didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

2.45pm: Sri Ram memberitahu pasukan peguamnya perbicaraan ditangguhkan ke Isnin, jam 9.30 pagi.

Najib masih tidak kelihatan di mahkamah.

2.40pm: Shafee dan Sri Ram masuk ke kamar Hakim Sequerah.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Ronnie Liu masuk dan duduk di galeri awam, betu-betul di belakang kandang saksi.

2.30pm: Shafee, Sri Ram dan peguam lain berada dalam mahkamah. Najib tidak kelihatan. 

Tinggalkan komen anda