Asrama tempatkan 41 murid musnah terbakar


shadow

Kesemua murid yang menghuni asrama tersebut bagaimanapun berjaya keluar untuk menyelamatkan diri. – Foto ihsan bombaJULAU: Sebuah asrama yang menempatkan 41 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Serau, di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran.

Kesemua pelajar termasuk 20 murid perempuan yang menghuni asrama tersebut bagaimanapun berjaya keluar untuk menyelamatkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, memaklumkan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor yang menaiki sebuah jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, api dilihat marak dengan begitu cepat memusnahkan hampir keseluruhan struktur bangunan asrama yang diperbuat daripada kayu itu.Kesemua pelajar kemudian diarahkan pulang ke rumah masing-masing memandangkan sekolah itu tidak ada bangunan lain untuk menempatkan mereka, manakala pakaian dan barang-barang mereka turut musnah terbakar dalam insiden itu.

“Semua pelajar yang tinggal di asrama tersebut telah dibawa pulang ke rumah oleh ibu bapa masing-masing,” katanya.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • astro Awani

Tinggalkan komen anda