KUALA LUMPUR: MISC Bhd (MISC) menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsung, Polaris LNG One Pte Ltd dan Polaris LNG Two Pte Ltd, mendapat kontrak carter bernilai AS$711 juta (AS$1=RM4.19) daripada anak syarikat milik penuh Exxon Mobil Corporation, SeaRiver Maritime LLC (SeaRiver).
MISC dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, kontrak carter selama 15 tahun itu membabitkan dua buah kapal pembawa gas asli cecair (LNG), yang mana ia akan memenuhi keperluan portfolio pengangkutan LNG ExxonMobil di seluruh dunia untuk sepanjang tempoh kontrak.
Kedua-dua kapal itu akan dibina di limbungan Samsung Heavy Industries Co, Korea Selatan dalam suku pertama 2023.
“Kejayaan ini adalah satu mercu tanda kepada MISC dan kami teruja dapat mengembangkan perkongsian strategik ini dengan ExxonMobil melalui SeaRiver dalam menyediakan penyelesaian perkapalan yang terbaik dalam kelasnya.
“Dengan spektrum penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan tenaga kami yang agak luas, kami yakin mampu menyediakan pelbagai keperluan untuk industri minyak dan gas antarabangsa,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Yee Yang Chien, dalam satu kenyataan berasingan.
MISC adalah antara pemilik tunggal terbesar kapal tangki LNG di dunia, merangkumi 29 kapal pengangkut LNG dan dua unit penyimpanan terapung dengan kapasiti tan berat mati (DWT) melebihi dua juta tan.
Tinggalkan komen anda