Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan bahawa kerajaan akan tetap menjadi suara majoriti dalam Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan sekaligus menjalin kerjasama dengan 4 pelabur strategik yang telah disenarai pendekkan demi kesinambungan jangka panjang syarikat penerbangan itu.
Bagaimanapun jelas beliau, perincian empat pelabur yang melalui proses itu bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana termaktub di bawah perjanjian kerahsiaan ‘non disclosure’.
“Pelabur itu disenarai pendek daripada 20 pelabur berpotensi yang dipelawa oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan syarikat induk MAS, Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) untuk menjadi rakan strategik MAS.
“Empat pelabur strategik ini akan melalui proses penilaian yang lebih ketat dan teliti serta penekanan diberi kepada cadangan mengambil kira kehematan kewangan dan sinergi kepada operasi MAS.
“Kerajaan perlu menilai semula model perniagaan MAS secara holistik supaya syarikat penerbangan itu dapat keluar daripada kemelut yang sedang dihadapinya serta bangkit sebagai sebuah syarikat berprestasi tinggi dan mapan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) mengenai dakwaan Jepun akan mengambil alih MAS dan bagaimana proses tawaran itu dibuat.
Menjawab soalan tambahan Alexander berhubung jangka masa proses terbabit, Mohamed Azmin menjelaskan keputusan muktamad akan diketahui pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
“Khazanah dan MAGB mempelawa 20 pelabur terbabit pada Ogos lalu dan selepas penilaian dibuat, empat daripadanya disenarai pendek bulan lalu.
“Kita menjangkakan semua maklum balas akan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah bulan depan dan satu keputusan untuk mengenal pasti rakan strategik bagi memperkukuhkan MAS dapat dibuat selepas itu,” katanya.
Azmin dalam masa yang sama turut memberi jaminan kerajaan akan terus mempunyai suara majoriti dalam struktur baharu syarikat penerbangan berkenaan.
“Keputusan yang bakal dibuat berkaitan masa depan MAS adalah untuk memastikan syarikat penerbangan itu memiliki rakan strategik terbaik dan memperkukuhkan MAS untuk jangka masa panjang,” katanya.
Tinggalkan komen anda