KEHIDUPAN ini ibarat sebuah kanvas yang penuh warna-warni, ada hitam dan ada putih, begitu juga dengan perjalanan hidup manusia yang penuh berliku dalam menguji tahap kesabaran berdepan ujian yang tidak dijangka. Mengenali empunya nama Hasnoradiah Abu Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Nora ini membuatkan sesiapa saja mudah tertarik dengannya. Mana tidaknya, kala usia menjengah angka 55 tahun dia bukan saja cantik dan bergaya malah mempunyai karisma tersendiri yang menjadikan dirinya tampak istimewa.
Namun siapa sangka di sebalik kehebatan aura itu, wanita yang pernah memegang jawatan tinggi dalam dunia perbankan kini sudah mempunyai seorang cucu menyimpan memori pahit yang tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidupnya.
Kenangan yang memberi tamparan hebat kepada dirinya apabila dilahirkan dalam keadaan sumbing. Keadaan mulut (bibir dan lelangit) yang sumbing menyebabkan dia menerima pelbagai cacian, ejekan dan tohmahan sepanjang usia kanak-kanak. Lebih menyedihkan, ejekan itu berlanjutan hinggalah dia meningkat remaja.
Pada orang yang melemparkan kata-kata ejekan mungkin berasa seronok namun pada individu yang diejek, ia memberi kesan negatif hingga menjejaskan kualiti hidupnya. Jemu dengan kata-kata sinis yang diterima sejak kecil membuatkan Hasnoradiah berazam menjadi seorang wanita yang cantik, berjaya dan berkaliber, suatu masa nanti.
Ternyata kini, Hasnoradiah layak dijadikan inspirasi kepada sesiapa saja terutama kepada individu yang dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna supaya lebih kuat berdepan ujian yang sudah tertulis sejak azali.
Mengimbau kembali kenangan itu, dalam nada sebak, ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, dia yang juga anak sulung daripada lima beradik dilahirkan dalam keadaan kurang sempurna apabila mengalami masalah sumbing.
“Dulu ibu hamil tidak menjalani proses imbasan janin bagi mengetahui sebarang masalah bayi dalam kandungan. Memang tidak ada pun kemudahan itu dan ibu bapa saya memang terkejut melihat keadaan saya sebaik dilahirkan.
“Saya membesar dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Bukan kerana ibu bapa tidak menerima saya. Mereka menerima dugaan ini dengan reda namun apa yang menyedihkan adalah saya sering menjadi bahan ejekan, sindiran dan ditertawakan oleh rakan sekolah. Saya dipanggil sumbing, senget dan sengau. Ya, saya membesar dalam suasana begitu,” katanya.

BERSAMA anak, menantu dan cucu.
Menurutnya, walaupun bukan semua rakan berkelakuan sedemikian, ramai yang membulinya. Kalau boleh dia mahu cepat menamatkan persekolahan dan melangkau keluar daripada dunia remaja yang penuh dengan tekanan.
“Buli yang saya maksudkan itu lebih kepada ejekan dan kata-kata sindiran. Bayangkan sejak di sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah saya berdepan keadaan itu. Paling terkesan di hati ini apabila seorang daripada rakan menjerit mengejek saya yang ketika itu baru mengubah gaya rambut dan memakai cermin mata baharu.
“Dia kata, ‘rambut dan cermin mata bolehlah kau ubah, tapi hidung dan mulut masih macam itu juga’. Hati saya benar-benar terhiris dengan kata-kata yang dilaungkannya di depan orang lain. Ia membuatkan saya betul-betul sedih, malu dan tertekan,” katanya.
Atas faktor kurang keyakinan dan tekanan emosi yang dialaminya, Hasnoradiah mengakui banyak mengurungkan diri di dalam bilik, menangis dan lebih selesa bersendirian.
“Adik keluar bermain di taman tetapi saya tetap berkurung. Pada awalnya saya sering menceritakan masalah ini kepada ibu tetapi tiada juga penyelesaian. Akhirnya saya memilih untuk memendam perasaan sendiri yang membuatkan menjadi lebih tertekan.
“Saya sudah menjalani kira-kira lapan pembedahan seawal usia tiga bulan, namun proses untuk kelihatan seperti manusia normal itu sememangnya mengambil masa yang lama,” katanya.
Katanya, pengalaman pahitnya itu membuatkan dia tekad menjadi individu yang dikagumi suatu hari nanti.
“Ketika bersedih dan berkurung, hampir setiap hari saya bermimpi dan berazam kelihatan cantik, berjaya dan dapat menjadi inspirasi kepada orang lain apabila dewasa.
“Walaupun agak sukar untuk menjadi positif, syukur, lama- kelamaan saya dapat menerima ketentuan ini yang menjadikan saya seorang manusia yang lebih kuat,” ujarnya.
CATATAN PENGALAMAN
Hasnoradiah berkata, dia sedar perlu perlu melakukan sesuatu bagi membantu ramai kanak-kanak atau individu yang dilahirkan sumbing supaya mereka tidak melalui pengalaman pahitnya. Ini membuatkan dia tekad menulis buku bertajuk ‘Born To Smile’ yang menceritakan pengalamannya sendiri berdepan ujian itu.
“Kini setiap kali bertemu kanak-kanak atau individu sumbing membuatkan hati saya luluh. Saya tahan sebak dan seboleh-bolehnya mahu terus memeluknya kerana tahu bagaimana sukarnya kehidupan mereka.
“Atas sebab itu, saya cuba menulis dan berkongsi 1,001 rasa dilahirkan sebagai individu sumbing. Namun yang paling utama saya sangat mengharapkan ibu bapa yang mempunyai anak normal untuk mendidik anak mereka supaya tidak mengejek rakan yang sumbing.
“Anak ini perlu dididik untuk bersyukur dilahirkan normal sedangkan anak yang sumbing melalui pelbagai masalah sejak dilahirkan. Malah dengan keadaan bibir yang sumbing, hendak menyusu pun amat sukar apatah lagi jika lelangitnya juga sumbing.
“Dalam dunia yang serba maju dengan pelbagai kemudahan perubatan, harapnya janganlah ada lagi anak sumbing yang tidak diberikan rawatan sewajarnya supaya mereka boleh menikmati hidup seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Katanya, sebahagian daripada keuntungan penjualan buku yang akan berada di pasaran pada September atau awal Oktober itu akan disumbangkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) dan Pertubuhan Kanak-Kanak Istimewa Kiwanis untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Saya cuba melakukan yang terbaik untuk bersama-sama membantu kanak-kanak senasib dengan saya ini. Saya tahu ramai yang menderita terutama dari segi emosi.
“Pada masa sama, saya juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak sumbing supaya membawa anak ke hospital dan bertemu doktor yang boleh merawat kekurangan itu. Jangan sesekali biarkan anak anda berterusan begitu kerana dia bakal berdepan pelbagai dugaan dan masalah lebih besar kelak,” ujarnya.
Menurutnya, kepada keluarga yang kurang berkemampuan, tidak perlulah bersusah hati memikirkan soal wang dan perbelanjaan pembedahan kerana hospital kerajaan turut mempunyai rawatan itu.
“Selain itu, bawalah anak anda ke kelas terapi pertuturan kerana anak sumbing turut mengalami masalah untuk berkomunikasi terutama percakapan menjadi tidak jelas dan sengau. Ia sangat penting dalam kehidupan seorang manusia.
“Jangan biarkan membesar tanpa mendapatkan rawatan kerana kita tidak mahu emosinya terjejas apatah lagi dalam dunia digital sekarang, cerita kekurangan orang sangat cepat tersebar. Saya tidak mahu apa yang dialami dulu dilalui kanak-kanak lain.
“Hampir puluhan tahun saya tidak ada kekuatan untuk berkongsi semua ini. Namun syukur kini saya semakin kuat dan mahu ke depan bagi memberi sinar kehidupan kepada individu senasib dengan saya,” katanya.
Tinggalkan komen anda