‘Tolong jaga bayi saya’


shadow

“IBU mana tidak sedih terpaksa berpisah dengan bayinya, tetapi saya tiada pilihan. Yang penting, dia (bayi dalam kandungan) ada masa depan lebih baik,” kata wanita hanya mahu dikenali sebagai Diana.

Diana, 30, yang kini hamil tujuh bulan mendapatkan perlindungan di OrphanCare Foundation Petaling Jaya selepas mengandung luar nikah tanpa pengetahuan keluarga.

Meskipun sedar dengan kesilapan dilakukan, Diana bercadang menyerahkan anak dikandung kepada keluarga angkat sejurus bayi itu lahir kelak.

“Saya tidak pernah memaklumkan mengenai kehamilan ini kepada teman lelaki kerana tiada guna. Dirinya sendiri tidak terjaga, entah macam mana nak jaga saya serta anak bakal lahir.

“Kami sudah berpisah disebabkan faktor jarak. Saya tidak yakin jika dia ingin bertanggungjawab, malah saya tidak peduli mengenainya lagi.

“Kalaupun ada yang mencadangkan supaya saya menjaga anak ini seorang diri, saya rasa tidak adil untuknya membesar tanpa bapa.

“Biarlah dia dibesarkan keluarga dalam keadaan serba cukup dan bahagia,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Diana berkata, sudah seminggu dia menginap di OrphanCare Foundation itu dan memberikan alasan kerja di luar kawasan kepada keluarga sepanjang menunggu saat kelahiran anaknya.

“Saya tidak mahu bersoal jawab dengan keluarga. Mungkin mereka marah jika tahu mengenai kandungan ini, mungkin juga tidak.

“Saya tidak mahu membebankan mereka dengan masalah yang saya sendiri timbulkan.

“Mujur saya kerja sendiri secara dalam talian, jadi tiada masalah daripada segi cuti. Sambil melakukan kerja sendiri, saya turut membantu kakitangan di sini (OrphanCare Foundation) melakukan tugasan ringan untuk mereka,” katanya.

Selain Diana, sekurang-kurangnya 100 lagi ibu pernah mendapatkan perlindungan di OrphanCare Foundation seluruh negara sementara menunggu detik melahirkan bayi yang dikandung secara tidak sah.

Sementara itu, Pegawai Perancangan dan Pembangunan OrphanCare Foundation, Yatt Ahmad berkata, sehingga semalam, 373 bayi diselamatkan yayasan itu termasuk bayi ditinggalkan di peti perlindungan bayi mereka.

Beliau berkata, jumlah itu mungkin meningkat selepas melihatkan senario waktu bayi dilahirkan atau dihantar ke rumah itu sepanjang tahun.

“Pada tahun ini saja, seramai 17 bayi diselamatkan OrphanCare Foundation meliputi enam ditinggalkan di peti perlindungan bayi (baby hatch), enam menerusi program keibubapaan kami untuk bakal ibu serta lima ‘walk in’ termasuk kes Diana.

“Bagaimanapun, berdasarkan pengamatan kami, September dan November antara waktu kerap kami terima bayi di sini.

“Sebelum musim perayaan antara waktu kebiasaan kami terima bayi. Jadi angka itu dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Setakat ini, dianggarkan 50 suami isteri berada dalam senarai menunggu untuk mengambil bayi diselamatkan OrphanCare Foundation sebagai anak angkat.

-myMetro

Tinggalkan komen anda