Tetak 2 lelaki dengan parang, 2 sekawan dipenjara 6 tahun


shadow

Akibat menetak kepala, lengan kanan, peha kiri dan belakang badan dua lelaki menggunakan sebilah parang, dua rakan masing-masing dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuaa Lumpur, hari ini.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas M Paramasivam, 25, dan M Ravindran, 22, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan Paramasivam menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 19 Jun 2016 manakala Ravindran bermula pada 1 Ogos 2016 iaitu tarikh dia ditangkap.

Mereka yang tidak bekerja itu didakwa bersama-sama dengan sengaja mendatangkan cedera parah iaitu menetak N Anandha Babu, 33, dan S Hemaraj, 21, menggunakan sebilah parang jenama Tramontina Brazil.

Mereka melakukan kesalahan itu di Jalan 3/48A, Sentul di Kuala Lumpur pada 10 pagi, 19 Jun 2016 mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama.

“Kedua-dua tertuduh mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan sebilah parang. 

“Hal ini boleh mendatangkan kematian dan kecederaan parah. Tambahan pula, kejadian itu berlaku di kuil yang mana satu kawasan yang tidak sepatutnya berlaku kesalahan seperti itu,” katanya.

Paramasivam dan Ravindran yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mereka telah insaf.

– Bernama

Tinggalkan komen anda