Syiah: KPM akan bincang dengan mufti


shadow

Kementerian Pendidikan akan berbincang dengan tokoh agama, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, mengenai saranan mufti Pulau Pinang agar fakta mengenai ajaran Syiah dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Pengajian Islam di sekolah.

Saranan tersebut dibuat kerana Wan Salim berpendapat pendidikan merupakan kunci penyelesaian terhadap isu berkenaan dan menggesa sikap bertolak ansur terhadap Syiah, mahupun kelompok agama selain Islam.

“Itu nanti kita bincang dengan mufti Pulau Pinang,” kata menterinya, Dr Maszlee Malik kepada pemberita selepas program Lets Gather with YB Menteri Pendidikan Malaysia 2019 di UiTM Kampus Puncak Alam, Kuala Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Wan Salim kepada kementerian supaya fakta kefahaman ajaran Syiah dimasukkan ke dalam sukatan pengajian Islam.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Wan Salim dilihat mengambil pendirian lunak terhadap penganut Syiah walaupun beberapa negeri memfatwakan golongan tersebut sebagai ancaman terhadap umat Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Untuk rekod, di Malaysia Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memutuskan bahawa semua jenis ajaran Syiah sesat.

Mazhab Syiah yang mempunyai ramai pengikut di nagara seperti Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan Yaman dan Pakistan, adalah cabang Islam kedua terbesar di dunia.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda