Suhakam: Usir warga Turki langgar hak pencari suaka


shadow

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata tindakan kerajaan Malaysia mengusir warga Turki, Arif Komis dan keluarganya ke negara asal mereka merupakan pelanggaran terhadap prinsip ‘non-refoulment‘ pencari suaka.

Prinsip ‘non-refoulment‘ menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab sesebuah negara untuk tidak menghantar pulang pelarian ke negara asal sekiranya kerajaan tahu bahawa pelarian itu akan dianiaya atau mungkin terbunuh di negara asal mereka melainkan mereka pulang atas kerelaan sendiri.

“Di bawah Seksyen 8 Akta Ekstradisi 1992, terdapat beberapa larangan terhadap ekstradisi dalam beberapa keadaan, ini termasuk sekiranya waran pemulangannya telah dibuat dengan tujuan untuk membicarakan atau menghukum rasnya, agamanya, kerakyatannya atau fahaman politiknya,” kata kenyataan Suhakam hari ini.

Arif sebelum ini telah dikategorikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) sebagai orang yang dilindungi dan berisiko terhadap ancaman sekiranya mereka dipaksa kembali ke negara asalnya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata polis mempunyai bukti untuk menahan dan mengusir Arif bersama keluarganya.

Sementara itu, Suhakam berkata pihak yang mencari suaka terutamanya yang datang ke Malaysia, di mana status pelarian tidak diiktiraf mempunyai ruang perlindungan yang terhad.

Kata Suhakam, pencari suaka, pelarian dan orang tidak bernegara di Malaysia hidup dalam keadaan yang terdedah kepada penganiayaan, dan ini diburukkan lagi dengan dasar-dasar yang menyekat dan mengehadkan akses kepada perlindungan suaka.

“Suhakam sekali lagi menyeru agar Kerajaan meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Status Pelarian 1951 bukan sahaja bagi menetapkan standard minimum dan peraturan berkaitan status, layanan dan penentuan terhadap pelarian supaya mereka dapat hidup dan bekerja di Malaysia tanpa penganiayaan, tetapi juga untuk memberi komitmen terhadap prinsip non-refoulment yang diperuntukkan oleh Perkara 33(1) konvensyen tersebut.

“Sementara kita membincangkan ratifikasi konvensyen mengenai pelarian tersebut, prinsip keadilan menuntut agar suatu tindakan politik dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip non-refoulement.

“Suhakam berharap agar kerajaan memenuhi harapan rakyat untuk mewujudkan suatu negara yang penuh belas kasihan dan berasaskan keadilan,” katanya.

Arif yang merupakan guru di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dihantar pulang ke Turki bersama isteri dan empat anak perempuannya.

FMT melaporkan bahawa Ankara menuduh Arif terbabit dalam kumpulan Gulen, sebuah gerakan sosial berasaskan kepercayaan yang diilhamkan ajaran pendakwah Islam dari Turki dan hidup dalam buangan, Fethullah Gulen.

Kerajaan Turki dan media rasminya menggelar kumpulan tersebut Feto, atau Fethullahist Terrorist Organization, dan menuduh ia mendalangi cubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda