Saifuddin nafi lancar kempen belilah barangan bukan Islam


shadow

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan sekeras-kerasnya satu hantaran di Twitter mendakwa beliau melancarkan kempen membeli barangan bukan Islam.

Saifuddin menyifatkan hantaran oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sebagai fitnah berniat jahat susulan Jemaah Menteri menolak kempen boikot barangan bukan Islam yang dilancarkan oleh pembangkang dan pihak tertentu.

“Posting berkenaan saya melancarkan kempen belilah barangan bukan Muslim seperti di dalam gambar di bawah adalah satu fitnah berniat jahat,” katanya ketika menciap di akaun Twitternya, semalam.

Beliau mengulas satu hantaran di laman media sosial baru-baru ini yang mendakwa Setiausaha Agung Keadilan itu melancarkan kempen belilah barangan bukan Islam sambil menyifatkan DAP di sebalik usaha tersebut.

Antara ciapan yang tular di Twitter berkenaan berbunyi, ‘rakyat lancarkan kempen utamakan produk muslim’, ‘menteri Islam lancar kempen belilah barangan non-muslim’ dan ‘hebat penangan DAP’.

Saifuddin menjelaskan, gambar yang disebarkan untuk tujuan fitnah itu sebenarnya bukan produk bukan Islam, sebaliknya minyak masak jenama Lestari yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

“Produk yang saya lancarkan tempoh hari ketika Karnival Jualan i-KEEP pada 2 September di Lembah Pantai adalah milik agensi kerajaan yang 100 peratus dikendalikan oleh Bumiputera.

“Jenama minyak masak ini dihasilkan oleh syarikat MyCompare Sdn Bhd iaitu sebuah kilang di Klang yang dimiliki 100 peratus orang Melayu.

“Pelancaran minyak masak jenama “Lestari” ini adalah bertujuan membekalkan minyak masak kepada pasar raya yang menyertai program i-KEEP,” ciapnya.

Saifuddin juga memberi amaran kepada semua pihak agar menurunkan hantaran fitnah berkenaan daripada laman media sosial tersebut.

“Saya ingatkan agar diberhentikan posting fitnah seperti ini yang jelas tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat serta perpaduan negara,” ciapnya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda