Rundingan Axiata – Telenor berakhir


shadow

RUNDINGAN penggabungan mega antara Axiata Group Berhad (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) untuk menjadi juara dunia dalam industri telekomunikasi akhirnya ditamatkan.

Kumpulan Axiata dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan perbincangan berhubung penggabungan aset bukan tunainya, iaitu aset telekomunikasi dan infrastruktur di rantau Asia.

Menurutnya, dalam tempoh lebih empat bulan lalu, Axiata dan Telenor telah menjalankan proses usaha wajar dan pada peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian transaksi yang dijangka diselesaikan pada suku ketiga 2019.

“Disebabkan terdapat beberapa kerumitan yang berlaku dalam transaksi yang dicadangkan, semua pihak berkaitan dalam hal ini bersetuju untuk menamatkan rundingan penggabungan ini.

“Kedua-dua pihak masih mengakui rasional strategik yang kukuh untuk transaksi yang dicadangkan serta tidak menolak kemungkinan rundingan penggabungan itu boleh dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Axiata berkata, pengakhiran rundingan itu juga tidak akan memberi kesan kepada kumpulan itu dalam merealisasikan cita-citanya dalam menjadi Juara Digital pada 2022.

-myMetro

Tinggalkan komen anda