Permohonan Najib tangguh saman cukai LHDN 8 Nov


shadow

Permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menangguhkan prosing saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana didakwa tidak membayar cukai RM1.69 bilion akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Bache menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes di kamar beliau petang ini.

Hakim juga menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar permohonan kerajaan selaku plaintif bagi penghakiman terus tanpa melalui perbicaraan terhadap Najib selaku defendan.

Perkara itu disahkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

“Pihak-pihak ini telah memfailkan dokumen sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah dalam pengurusan kes sebelum ini.

“Mahkamah kini menetapkan tarikh untuk pihak-pihak berkenaan memfailkan hujahan bertulis kedua-dua permohonan pada 11 Nov 2019, dengan tarikh pendengaran (untuk kedua-dua permohonan) pada 11 Nov 2019,” kata Farhan kepada wartawan.

Najib juga diwakili peguam Wee Yeong Kang.

Peguam LHDN Norhisham Ahmad, Mazlan Alias dan al-Hummidallah Idrus mewakili kerajaan semasa prosiding hari ini.

Pada 16 Ogos, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan hari ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh permohonan Najib menangguhkan saman terhadapnya sementara menunggu rayuan penilaian semula dengan LHDN.

Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman berkenaan pada 8 Ogos.

Bekas perdana menteri itu mendakwa beliau mempunyai peluang yang tinggi untuk memenangi rayuan penilaian semula cukai berkenaan.

Pada hari yang sama kerajaan melalui LHDN juga memfailkan permohonan untuk penghakiman terus terhadap Najib dalam kes berkenaan.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda