Penduduk PPR buntu cari jalan tambah pendapatan


shadow

Tepat jam 2 petang, seorang ibu bersama anak-anaknya akan menyusun barang-barang jualan mereka untuk mula berniaga di bawah pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.

Wanita itu hanya menjual barangan seperti makanan ringan, minuman berkarbonat dan buah-buahan.

Dengan gaji bulanan suaminya yang hanya RM1,800 sebagai seorang pemandu, pendapatan sedemikian rupa tidak cukup untuk menampung perbelanjaan seharian mereka berserta enam orang anak di bandar, katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Ita.

Sementara itu, Ita juga terpaksa bersaing dengan beberapa suri rumah di situ yang turut melakukan perkara sama untuk menjana pendapatan tambahan isi rumah mereka.

“Dulu, dalam seminggu saya boleh juga bawa anak saya jalan-jalan. Tapi fikir 10 kali nak bawa mereka keluar sebab kalau bawa mereka naik bas untuk enam-enam orang ini pergi balik dah berapa? Ikutkan naik bas tu dah kira orang kaya dah,” katanya.

Anak-anak Ita yang berusia antara 18 hingga tiga tahun dan salah seorangnya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Ita, 39, mengeluh dengan barang-barang semakin naik. Susu tepung anaknya yang biasa dibeli empat paket setiap tahun juga terpaksa dicatu.

“Sebelum ni, anak saya yang (umur) tiga tahun pernah tak minum susu. Ajar dia minum air lain macam teh ‘o’ ke,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Pada 24 Ogos lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston (gambar) berkata, garis kemiskinan Malaysia agak rendah bersamaan dengan RM980 bagi setiap isi rumah itu yang diterjemahkan menjadi kadar kemiskinan sebanyak 0.4 peratus.

Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Sebaliknya, menurut Alston, kadar kemiskinan di Malaysia sepatutnya hampir 15 peratus.

Laporan berkenaan diterbitkan susulan lawatan 11 hari Alston yang melawat pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Tinjauan Malaysiakini di kawasan pangsapuri kos rendah di Kerinchi baru-baru ini mendapati rata-rata penduduk melakukan pelbagai cara untuk menampung kos kehidupan mereka di bandar seperti berniaga sambilan meski pun sudah meniti usia warga emas.

Fikir masak-masak sebelum belanja

Pesara Mohd Amim Zainal, 65, berkata dia merasakan perjalanan hidupnya semakin hari semakin perit kerana tidak mampu bertahan memandangkan buah-buahan yang dijualnya tidak laku seperti dulu.

“Pernah terfikir nak cari pendapatan tinggi tapi niaga ini dah macam ramai sangat berniaga. Rasa terperangkap. Tak ada kuasa membeli.

“Sekarang ini nak pergi mana-mana dan nak beli apa-apa kena fikir banyak kali. Saya nak menyimpan pun dah susah,” katanya yang hanya meraih sekitar RM30 hingga RM40 sehari.

Amim yang tinggal bersama lima orang lagi ahli keluarganya berkata anak-anaknya yang lain semuanya telah dewasa dan dia sendiri segan untuk meminta wang kepada mereka yang masing-masing mempunyai komitmen lain.

Perkara sama turut dirasai oleh Rosli Che Ahmad, 63, walaupun hanya mempunyai seorang anak berusia 21 yang perlu ditanggung dengan wang pencennya sebanyak RM2,000.

Rosli juga setuju dengan kenyataan pelapor khas PBB mengenai kemiskinan itu, berkata dia perlu berjimat-cermat kerana wangnya kebanyakan dihabiskan untuk barang-barang keperluan dan utiliti.

“Sekarang nak keluar pun jalan sesak, banyak pakai petrol, makan pun kena rajin-rajin masak kat rumah.

“Memang barang-barang dah mahal. Saya harap gaji minima dinaikkan ke RM1,500 atau RM2,000 sebulan,” katanya yang memikirkan masa depan anak-anaknya nanti.

Kadar gaji minima baru yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 adalah RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam di seluruh negara.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan memberikan penekanan terhadap penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan, pendidikan yang berkualiti, pertumbuhan inklusif dan merapatkan jurang pendapatan dalam program pembasmian kemiskinan.

Kumpulan pendapatan menengah jadi miskin relatif 

Pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berkata kos sara hidup minima di negara hari ini adalah sekitar RM2,500, yang berbeza dengan gaji minima yang sedia ada sekarang.

Sambil memetik satu laporan dari portal The Edge Market, iaitu separuh dari rakyat Malaysia berpendapatan kurang dari RM2,000, Barjoyai berkata jika angka tersebut mewakili jumlah isi rumah, ia bermakna mereka ini terdiri daripada miskin relatif.

“Jadi angka yang sekarang ni 0.4 peratus, kita boleh anggap sebagai kadar miskin tegar (hardcore poor), sedangkan miskin relatif jumlahnya jauh lebih tinggi. Mungkin lebih dari 20 peratus.

“Cuma miskin relatif ni merupakan satu yang relatif sebab maksudnya kalau seseorang itu duduk di luar bandar, ada tempat tinggal, boleh bercucuk tanam, dia boleh menternak, pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan itu tidaklah dianggap miskin mutlak kerana mereka boleh mengawal kemiskinan tu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut pensyarah Universiti Tun Abdul Razak itu terdapat ramai di antara golongan berkenaan yang sebelum ini berada dalam kumpulan pendapatan menengah sekarang berada dalam kumpulan miskin relatif.

“Miskin relatif ini sebenarnya mereka tak rasa diri mereka miskin dari segi psikologi tapi mereka memang tak cukup dari segi pendapatan untuk tampung perbelanjaan,” katanya.

Jelasnya, meskpun majikan tidak bersetuju untuk menaikkan gaji minima pada kadar yang sepatutnya berikutan kadar produktiviti yang tidak sepadan, jalan penyelesaiannya boleh dilakukan dengan menghantar pekerja ke kursus untuk meningkatkan tahap kemahiran mereka sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Melalui itu, majikan dapat mempertimbangkan kenaikan gaji minima mereka.  

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda