Pemuda: Taawun dengan PAS tuah Umno tiada Mahathir


shadow

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan hakikat bahawa Dr Mahathir Mohamad bukan lagi presiden parti itu ketika ini sebagai satu tuah dan “rahmat yang tersembunyi” buat mereka.

Kata bekas timbalan menteri itu, tanpa Mahathir bersama Umno, mereka mampu membentuk kerjasama yang kukuh dengan PAS dan kedua-dua pihak saling menerima dengan hati terbuka.

“Saya rasa kami bertuah kerana ketika Dr Mahathir bukan lagi menjadi presiden kami, ia adalah blessing in disguse (rahmat yang tersembunyi).

“(Tanpa Mahathir) Umno dan PAS membentuk kerjasama yang utuh, berjaya mengetepikan perbezaaan (dan) dengan hati terbuka untuk menerima segala kekuatan dan kekurangan masing-masing,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Pemuda Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur petang tadi.

Terdahulu dia diminta mengulas kenyataan Mahathir yang meminta PAS terlebih dahulu menarik balik kenyataannya dahulu bahawa Umno ialah parti kafir sebelum kedua-dua parti wajar memuktamadkan kerjasama mereka melalui pemeteraian piagam Sabtu ini. 

Umno dan PAS akan memuktamadkan kerjasama mereka melalui piagam tersebut yang akan ditandatangani presiden kedua-dua parti berkenaan.

Majlis menandatangani piagam itu akan diadakan di Dewan Merdeka, PWTC yang juga merupakan lokasi ibu pejabat Umno Malaysia.

Mahu Dr M buat dulu

Untuk rekod, Mahahir pernah menjadi presiden Umno dari 1981 sehingga 2003.

Disoal pemberita sama ada kenyataan itu bermaksud Umno tidak akan mendesak PAS meminta maaf, Asyraf Wajdi sebaliknya berkata ia bukanlah satu isu buat pihaknya.

Katanya, sebelum Mahathir mahu PAS meminta maaf kepada Umno, perdana menteri itu sendiri perlu terlebih dahulu meminta maaf atas kejadian Memali yang mengorbankan ramai penyokong PAS ketika menjadi perdana menteri keempat dulu.

“PAS juga boleh imbau segala kejadian semasa zaman Dr Mahahir. 

“Sehingga sekarang, Dr Mahathir tidak ada meminta maaf kepada PAS tentang kejadian Memali, kerana dia perlu ambi tanggungjawab (sebagai perdana menteri).

“Ini tentang kematian manusia dalam insiden itu, ahli-ahli PAS. Saya rasa sebelum suruh PAS minta maaf, saya harap Dr Mahathir boleh (terlebih dahulu) buat permohoanan terbuka tentang apa terjadi semasa masanya menjadi perdana menteri (ketika itu),” katanya lagi. 


Baca Biarlah dipanggil walaun pun, kata Idris


Memali ialah sebuah perkampung di pedalaman Baling, Kedah, yang pernah menyaksikan insiden berdarah membabitkan pasukan keselamatan negara – yang ketika itu ditunjangi Umno, dan bersama BN – dengan penyokong PAS pada 1985.

Ia mengorbankan 14 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Polis mendakwa insiden itu tercetus apabila operasi menangkap tokoh PAS, Allahyarham Ibrahim Mahmud – atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya – mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdepan tentangan daripada penduduk kampung tersebut.

Ibrahim pada ketika itu dituduh mengancam keselamatan negara dan memecah-belahkan masyarakat dengan pandangannya yang dikatakan keras.

Bagaimanapun, PAS mendakwa operasi yang digelar dengan nama Operasi Angkara itu dilancarkan kerana bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS.

Ibrahim turut terkorban dalam insiden berdarah itu.

  • malaysiakini

Tinggalkan komen anda